Semasa cuti Hari Kebangsaan, 20,000 pelancong Malaysia telah bercuti di Thailand

Semasa cuti Hari Kebangsaan, 20,000 pelancong Malaysia telah bercuti di Thailand

 

Seramai 20,000 pelancong dari Malaysia bercuti di Wilayah Selatan Thailand sempena cuti panjang Hari Kebangsaan negara pada Sabtu lepas.

Pada masa sama, ia menyumbang sebanyak lebih 100 juta Baht (RM12,728) kepada ekonomi tempatan dalam tempoh tiga hari tersebut, lapor Sinar Harian.

Pengarah Pejabat Pelancongan dan Sukan Songkhla, Wilawan Pobunsong berkata jumlah pelancong Malaysia yang memasuki pintu masuk untuk bercuti di kawasan selatan Thailand ini amat menggalakkan, terutamanya ketika cuti umum atau cuti sekolah di Malaysia.

“Secara keseluruhannya, seramai 20,000 pelawat dari Malaysia telah bercuti di wilayah selatan Thailand pada cuti panjang hujung minggu lepas iaitu Jumaat, Sabtu dan Ahad.

“Antara kawasan tumpuan pelancong Malaysia ialah di Pantai Samila, Bandar Lama Songkhla dan Pasar Terapung Khlong Hae di Wilayah Songkhla,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Isnin (2 September).

Memetik laporan itu lagi, kebanyakan pelawat dari Malaysia dilaporkan menggunakan pintu masuk Bukit Kayu Hitam dan Pengkalan Hulu di Malaysia untuk menuju ke Sadao dan Betong.

Sementara itu, Ketua Jabatan Kastam Betong, Praornrat Rattanspornsomporn berkata, seramai 4,000 hingga 5,000 pelancong Malaysia telah memasuki pintu Betong sejak Jumaat hingga Ahad baru-baru ini.

“Kemasukan pelancong Malaysia, terutamanya ketika cuti umum, sentiasa ramai dan difahamkan tempat-tempat penginapan di Betong juga mencatatkan tempahan hampir 95 peratus,” katanya.