Pekerja Malaysia tak bahagia, duduki tangga ke-2 terburuk di Asia Tenggara – Kajian

Pekerja Malaysia tak bahagia, duduki tangga ke-2 terburuk di Asia Tenggara – Kajian

 

Sebuah kajian baru-baru ini mendapati bahawa Malaysia merupakan antara negara yang memiliki ramai pekerja ‘paling tidak bahagia’ di rantau Asia Tenggara.

Berdasarkan tinjauan yang dilakukan platform pencarian pekerjaan, Jobstreet dan Jobsdb oleh SEEK itu, Malaysia telah dilaporkan menduduki tangga kedua terburuk.

Hasil kaji selidik mengenai ketidakpuasan pekerja yang dikongsikan oleh SME Asia ini dijalankan pada Mei 2024 lalu melibatkan lebih 5,000 responden dari seluruh negara.

Singapura mendahului ‘carta’ dengan mencatatkan peratusan tertinggi pekerja yang paling tidak bahagia di tempat kerja sebanyak 19 peratus, diikuti oleh Malaysia (12%).

Negara lain di Asia Tenggara iaitu Filipina menduduki tempat ketiga dalam senarai dengan 11 peratus diikuti oleh Thailand (9%), Hong Kong (9%), dan juga Indonesia (4%).

Dapatan kajian yang dikongsikan oleh SME Asia.

Difahamkan, antara punca tekanan yang menyebabkan pekerja tidak bahagia adalah beban kerja yang berat (37%), tekanan tinggi dari pihak pengurusan (27%) dan kekurangan peluang untuk mengembangkan kerjaya (23%).

Jelas laporan tersebut, hanya terdapat 48% syarikat di Asia Tenggara menawarkan sokongan yang mencukupi untuk membantu pekerja menguruskan tekanan buat masa ini walaupun mereka memiliki beban tinggi.

Walau bagaimanapun, syarikat di rantau ini dilaporkan sedang melaksanakan pelbagai strategi dalam usaha memastikan pekerja mereka lebih bahagia dengan meningkatkan pampasan dan faedah.

Antara strategi yang dilakukan majikan untuk mencapai sasaran ini adalah peningkatan penanda aras gaji di mana Malaysia telah mencatatkan kedudukan tertinggi iaitu sebanyak 59 peratus.

Namun majikan di Malaysia dikatakan lebih memberikan tumpuan kepada penglibatan pekerja di dalam aktiviti organisasi berbanding kaunseling kesihatan mental dan kesejahteraan.

Kajian ini membuktikan bahawa majikan di Malaysia khususnya perlu memberikan lebih fokus kepada kesihatan mental dan kesejahteraan pekerja untuk memastikan tenaga kerjanya lebih bahagia dan produktif.