Pasaran ekuiti Malaysia dijangka terus menyerlah, minat pelabur asing semakin meningkat
Minat pelabur asing terhadap pasaran ekuiti tempatan dijangka berterusan pada separuh kedua tahun ini dan juga ke tahun hadapan, kata Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER).
Badan pemikir itu berkata, pada separuh kedua tahun ini juga boleh membawa kepada kesan kekayaan positif daripada pasaran ekuiti memandangkan pasaran tempatan muncul sebagai pasaran yang menyerlah di ASEAN.
“Selera pelabur asing telah mendapat momentum. Ia dijangka berterusan pada separuh kedua 2024 dan berkemungkinan berlanjutan hingga 2025.
“Kestabilan politik, pembaharuan dasar yang berterusan, pelaksanaan banyak rangka kerja dan pelan tindakan yang diumumkan akan manfaatkan sektor utama, komitmen yang padu terhadap kemampanan dan daya tahan jangka panjang adalah pemacu utama,” katanya dalam ulasan ekonomi bulanannya bagi Julai 2024.
MIER berkata, permintaan dalam negeri yang berdaya tahan dicerminkan oleh perniagaan yang positif dan keyakinan pengguna.
Katanya, pinjaman perniagaan meningkat lebih kukuh sebanyak 5.6 peratus pada Jun 2024 berbanding 4.8 peratus pada Mei, didorong oleh modal kerja dan pinjaman berkaitan pelaburan.
Ia berkata, pertumbuhan pinjaman yang lebih tinggi dilihat merentas sektor pembinaan dan perkhidmatan.
“Pinjaman isi rumah meningkat sebanyak 6.2 peratus berbanding 6.3 peratus pada Mei 2024 disokong oleh kebanyakan tujuan pinjaman.
“Pinjaman sektor perbankan keseluruhan diperoleh sebanyak 6.4 peratus. Kami terus mendapat manfaat daripada perdagangan,” katanya.
MIER berkata, eksport disokong daripada barangan nilai tambah yang lebih tinggi, menyumbang kira-kira 83 peratus daripada jumlah eksport.
Selain itu, eksport negara juga turut menikmati sumbangan kukuh daripada eksport perkhidmatan nilai tambah, katanya.