Pasangan tak jadi cerai lepas dengar Radio ERA putar lagu kenangan zaman bercinta

Pasangan tak jadi cerai lepas dengar Radio ERA putar lagu kenangan zaman bercinta

 

Bila disebut tentang jodoh, sudah tentu perkara tersebut merupakan rahsia Allah SWT. Bila dan dengan siapa, cepat atau lambat semua sudah ditentukan oleh Yang Maha Esa.

Apabila masuk ke dalam fasa perkahwinan, kehidupan semasa bujang dan semasa berkahwin sangat berbeza. Hal ini kerana perkahwinan ialah amanah untuk memikul tanggungjawab membentuk keluarga yang lebih besar.

Tanyalah kepada mana-mana pasangan yang sudah mendirikan rumah tangga, sudah tentu mereka mengimpikan mahligai yang dibina bertahan selama-lamanya.

Tiada siapa pun yang mahukan penceraian dan satu-satunya perpisahan yang boleh diterima tentunya kerana terjadi apabila ajal datang menjemput orang yang kita cintai.

Namun lumrah berumah tangga, ada pasang surutnya. Dugaan yang terpaksa ditempuhi oleh pasangan suami isteri ada kalanya boleh meletakkan hubungan yang dibina dalam situasi yang tidak diinginkan.

Ketika titik persamaan untuk berbaik semula gagal ditemui, ada pasangan yang terpaksa memilih penceraian sebagai jalan keluar daripada masalah yang ada.

Namun, siapa sangka sekecil-kecil perkara boleh menyebabkan dua hati yang sedang luka terawat semula dan mampu mengubah keputusan besar suami isteri.

Itulah kisah yang dikongsikan oleh pasangan ini menerusi satu hantaran yang dimuat naik di akaun X, @meinmokhtar.

Menerusi perkongsian @meinmokhtar, seorang lelaki mendedahkan satu peristiwa yang berlaku ketika dia dalam perjalanan menghantar isteri pulang ke kampung.

Ketika itu, mereka baru sahaja selesai mengisi borang pendaftaran penceraian.

Dalam perjalanan tersebut, mereka mendengar siaran ERA(Malaysia) dan radio tempatan berkenaan memutarkan lagu-lagu yang mengimbau kenangan mereka ketika bersama.

Apa yang berlalu selepas itu ternyata tidak dapat diduga oleh sesiapa pun, termasuk pasangan suami isteri berkenaan.

Lagu-lagu yang ke udara ketika itu telah menjentik hati mereka sehingga kedua-duanya mengambil keputusan untuk berdamai dan membatalkan penceraian.

“Sekarang kami dah berbaik, tak jadi cerai,” kata lelaki yang tidak dikenali itu.

Lelaki tersebut turut mengucapkan terima kasih kepada Era (Malaysia) kerana menjadi salah satu asbab dalam mengembalikan keharmonian rumahtangganya.

Sementara itu, ERA (Malaysia) menerusi hantaran di Facebook, sempat meluahkan rasa gembira apabila pendengar mendapat satu kesan baik apabila mendengar radio Era FM.

“Semoga yang baik-baik sahaja untuk awak dan pasangan,” ujar ERA (Malaysia).

Menjengah ke ruang komen, rata-rata warga maya turut mendoakan agar hubungan suami isteri ini berkekalan sehingga ke akhir hayat.

Kata mereka, jangan dilepaskan apa yang telah digenggam. Malah perlu ingat betapa susahnya untuk mendapatkan apa yang kita inginkan dan miliki hari ini.

Jadi selagi hayat dikandung badan, hargailah mereka yang sentiasa berada di sisi kita sebaiknya.