Owner Mydin salahkan influencer sekarang kerap tayang kekayaan, suka menunjuk-nunjuk
Pengarah Urusan Pasar Raya Mydin, Datuk Dr Ameer Ali Mydin kurang bersetuju dengan sikap pempengaruh media sosial yang gemar mempemer kekayaan untuk tujuan menunjuk-nunjuk.
Dalam satu podcast Debonair yang dimuat naik di TikTok @ameeralimydin, beliau menyalahkan golongan ‘influencer’ ini yang memberi pengaruh buruk kepada generasi muda sehingga negara merekodkan 10,000 pelajar tidak menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023.
Jelasnya, tidak mengapa jika mereka berjaya dan kaya, namun apa yang perlu dilakukan adalah dengan memberi pencerahan kepada anak muda cara mereka mengecapi kejayaan itu.
“Saya salahkan influencer. Saya betul-betul salahkan anak muda yang menunjuk-nunjuk.
“Anda hasilkan duit, tidak mengapa. Beritahu mereka bagaimana anda menjana pendapatan anda. Tetapi jangan tunjukkan kereta besar itu, kereta sport, banglo besar yang anda diami.
“Jika anda berjaya, kongsi pengetahuan anda dan bimbing orang lain untuk mencapai matlamat mereka. Elakkan menunjuk-nunjuk; sebaliknya fokus untuk menaikkan semangat dan memperkasakan orang di sekeliling anda,” katanya.
Beliau juga memberi contoh seperti Elon Musk yang tidak memakai pakaian berjenama.
Nasihat Bos Mydin itu ternyata mendapat sokongan ramai dan berterima kasih kepadanya kerana berani menyuarakan perkara tersebut.
Ada pengguna berkata, mereka sendiri pernah melihat aksi pempengaruh yang mempamer kereta serta banglo mewah, namun kantoi pula kena angkut dengan pihak berkuasa.
Pada masa yang sama, orang ramai menasihati masyarakat agar tidak mengagungkan seseorang yang bergelar pempengaruh lebih-lebih lagi apabila mereka memberi nasihat yang menjurus kepada pengabaian pendidikan.