Nilai pasaran pemain warisan baru Indonesia lebih tinggi daripada keseluruhan skuad Malaysia

Nilai pasaran pemain warisan baru Indonesia lebih tinggi daripada keseluruhan skuad Malaysia

 

Skuad kebangsaan Malaysia menjadi sindiran peminat bola sepak Asia Tenggara yang cuba membandingkannya dengan nilai pasaran pemain warisan baharu Indonesia iaitu Mees Hilgers.

Hilgers yang beraksi dengan kelab Eredivisie iaitu FC Twente sejak 2011 memiliki nilai pasaran sebanyak 7 juta euro (RM33.6 juta) menurut laman sesawang transfermarkt.

Ianya sekaligus menjadi perdebatan hangat dalam kalangan peminat yang menyifatkan harga pemain tersebut lebih mahal daripada nilai pasaran keseluruhan skuad Malaysia iaitu 6.38 juta euro (RM30.6 juta), Thailand (RM30.9 juta) dan Vietnam (RM32.8 juta).

Salah seorang peminat Indonesia berpendapat perbandingan seperti ini tidak sepatutnya dilakukan kerana nilai pasaran pemain yang beraksi eropah sentiasa naik berdasarkan prestasi dalam perlawanan domestik dan antarabangsa.

“Saya tidak tahu kenapa nilai pasaran begitu tinggi, malah Jay Idzes yang bermain di Serie A tidak mempunyai nilai pasaran sebanyak Mees Hilgers yang berkarier di Eredivisie.

“Namun yang jelas ini bagus, semoga pasukan kebangsaan Indonesia akan terus mantap,” kata seorang pengguna facebook bernama Guyon Waton.

Skuad kebangsaan Indonesia tidak berhenti dalam usaha mereka untuk mencari pemain warisan dimana menurut laporan media, beberapa pemain baharu bakal menyertai pasukan itu.

Selain Hilgers, mereka juga mendapatkan khidmat Eliano Reijnders dari satu lagi kelab Eredivisie iaitu PEC Zwolle.

Kehadiran pemain warisan ini ternyata berhasil membantu mereka bersaing dengan pasukan gergasi Asia apabila berjaya mengikat Arab Saudi 1-1 pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2026 baru-baru ini.