Nik Abduh puji Menteri Pas tak pakai mask
Ahli Parlimen Bachok dari PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, memuji menteri dari parti itu yang dilihat – dan ditularkan – tidak memakai pekliltup muka di tempat awam.
Kata Nik Mohamad Abduh, tingkah laku Mohd Khairuddin Aman Razali itu memberi ‘pencerahan’ kepada orang awam mengenai peraturan pemakaian pelitup muka.
“Beliau (Khairuddin) tunjukkan kita dan bezakan tempat yang sesak yang wajib pakai dari tempat yang tidak sesak yang tak wajib pakai pelitup muka,” katanya dalam satu hantaran di media sosial tengah hari ini.
Khairuddin merupakan ahli parlimen Kuala Nerus yang dilantik Muhyiddin Yassin menjadi menteri perusahaan perladangan dan komoditi.
Dia mencetuskan kemarahan orang ramai apabila gagal mematuhi peraturan kuarantin kendiri selepas pulang dari Turki baru-baru ini.
Di sebalik kompaun yang dikenakan ke atasnya atas kesalahan tersebut, ulama PAS berkenaan tidak didakwa di mahkamah selepas Pejabat Peguam Negara mengarahkan tiada tindakan lanjut perlu dikenakan ke atasnya.
Beberapa hari lalu pula tular gambar Khairuddin menemui orang awam tanpa memakai pelitup muka.
Kata Nik Mohamad Abduh orang ramai dinasihat tidak terpengaruh dengan menularkan gambar Khairuddin yang didakwanya “bebudak PH” (Pakatan Harapan.
Dakwa anak bekas menteri besar Kelantan itu lagi, tindakan tersebut adalah cubaan pembodohan minda orang ramai.
“Usah terpengaruh dengan bebudak PH yang secara terancang viralkan gambar-gambar YB Menteri yang tak pakai pelitup muka. Itu semua aktiviti pembodohan terhadap minda rakyat,” katanya.
Nik Mohamad Abduh juga memberikan nasihat bahawa pada akhir zaman banyak fitnah dan berita palsu tersebar.