Nenek kenakan caj RM293 sehari upah jaga cucu sendiri
Seorang nenek dilapor mengenakan bayaran apabila diminta untuk menjaga cucu sendiri oleh anak perempuannya, lapor The Sun UK.
Caroline Duddridge, 65, yang berasal dari United Kingdom merupakan ibu kepada lima orang anak dan mempunyai enam orang cucu.
Menurut The Sun, Caroline merupakan seorang pesara guru yang bersara pada 2018, manakala suaminya meninggal dunia pada 2015 akibat kanser pankreas.
Caroline mula mengambil upah menjaga cucu sendiri selepas diminta oleh anak perempuannya, Amanda, yang berusia 39 tahun.
Ketika itu, Amanda bertanya sama ada Caroline mahu membantu dia menjaga anaknya untuk dua hari penuh setiap minggu.
Bagaimanapun, permintaan tersebut turut menimbulkan pertanyaan kepada Caroline kerana dia masih perlu mencari sumber pendapatan untuk menyara diri.
Ketika dia menyatakan persetujuan untuk menjaga anak Amanda yang juga cucunya, Caroline berkata dia hanya akan mengambil tanggungjawab tersebut sekiranya diberikan upah.
Caroline seterusnya memberitahu bahawa dia mengenakan bayaran mengasuh sebanyak £15 per cucu untuk setengah hari sehingga £50 untuk satu hari penuh.
Bagi Caroline pula, bayaran yang dikenakan itu adalah sangat berpatutan.
Amanda pada mulanya tidak bersetuju dengan permintaan Caroline. Malah turut mendakwa mana-mana nenek pastinya gembira sekiranya diberi peluang untuk menjaga cucu sendiri.
Namun bagi Caroline, dia mempunyai sebab yang tersendiri kerana dia juga perlu menyara kehidupan
Bagaimanapun menurut The Sun, Amanda dan suaminya akhirnya bersetuju dengan permintaan Caroline.
Malah, mereka kini menghantar tiga orang anak mereka untuk dijaga oleh Caroline, empat hari seminggu dari pukul 8.30 pagi hingga 5 petang.
Menurut Caroline, perjanjian turut dibuat bersama Amanda dalam urusan tersebut dan dia menjelaskan bayaran yang dikenakan mungkin berubah yang disesuaikan dengan perubaha inflasi.
Walaupun awalnya Amanda kurang bersetuju, namun kini dia menyedari bahawa bayaran yang dikenakan oleh Caroline jauh lebih berpatutan berbanding menghantar anak-anaknya ke pusat jagaan kanak-kanak
Biasanya, pusat jagaan kanak-kanak disana mengenakan bayaran sebanyak £75 per anak setiap hari.
Malah, Caroline menjemput sendiri cucu-cucunya dari rumah Amanda, selain membawa mereka keluar berjalan-jalan di taman, hadir ke pertemuan ibu bapa dan membawa ke kelas-kelas.
Selain Amanda, Caroline juga menjaga anak-anak kepada seorang lagi anak perempuannya, Elizabeth dan mengenakan caj yang sama.
Caroline mengakui dia amat menyayangi cucu-cucunya, tetapi zaman di mana dia perlu menghabiskan masa setiap hari untuk membesarkan anak-anak sudah pun berlalu.
Pada masa yang sama, ibu bapa juga tidak patut menganggap bahawa mereka tidak perlu membayar apa-apa apabila meninggalkan anak mereka untuk dijaga oleh orang lain.
Sejak menjaga cucunya sendiri bermula 2014, Caroline sudah pun mengumpul pendapatan sebanyak £25,000 (RM146,515) setakat ini.