“Nak selamatkan akidah anak-anak” – Warganet pelik dengan ‘trend’ ibu bapa mahu berhentikan anak dari sekolah
Biasa kita dengar tentang pelajar sendiri tak berminat untuk pergi ke sekolah atas pelbagai sebab, tapi kali ini timbul satu trend dikatakan ibu bapa sendiri yang mahu anak diberhentikan dari sekolah.
Perkara ini dikongsikan oleh sebuah laman bernama Ajar di Facebook yang berasa pelik dengan ibu bapa di media sosial apabila dilihat mereka saling bersetuju untuk tidak mahu anak pergi ke sekolah.
Menurut Ajar, antara alasan yang diberikan golongan ibu bapa ini untuk memberhentikan anak daripada bersekolah adalah kerana mahu anak lebih fokus dengan ilmu agama dan merasakan ilmu dunia sudah tidak penting.
Selain itu, ada juga yang merasakan anak-anaknya hanya perlu pergi ke sekolah pada waktu peperiksaan sahaja dan tiada kepentingan untuk hari lain.
Bukan itu sahaja, golongan ibu bapa ini turut mendakwa lebih baik belajar di rumah sahaja (mereka sendiri yang mengajar) dengan buku mata pelajaran hanya boleh dibeli sendiri kerana ia menjimatkan perbelanjaan.
Fahaman ibu bapa ini dilihat bahaya dan membimbangkan, rata-rata netizen tidak bersetuju kerana anak-anak yang masih kecil memerlukan kemahiran sosial untuk perkembangan mereka.
Untuk pengetahuan korang, ibu bapa atau penjaga dikenakan tindakan mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) jika gagal menghantar anak ke sekolah.
Ia merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 29 A (4) dan jika sabit kesalahan, ibu bapa boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.