Mulai 1 September ini, Puspakom tiada lagi hak ekslusif menjalankan pemeriksaan kenderaan
Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) tidak akan lagi menjadi badan tunggal yang dibenarkan untuk menjalankan pemeriksaan berkala kenderaan motor yang diwajibkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) bermula 1 September ini.
Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, tempoh konsesi Puspakom telah tamat pada 31 Ogos ini. Oleh itu, kerajaan kini membenarkan mana-mana syarikat berkelayakan untuk menjalankan tugas memeriksa kenderaan motor yang sebelum ini dijalankan oleh Puspakom. Mana-mana syarikat yang berminat untuk membuat permohonan, diminta untuk lakukan segera sebelum 31 Oktober ini.
“Sebelum ini PUSPAKOM diberi hak eksklusif menjalankan pemeriksaan ke atas kenderaan motor, namun selepas ini mana-mana syarikat berkelayakan boleh menjalankan tugas serupa di bawah Akta 333.
“Bagaimanapun, di bawah mekanisme baharu ini, PUSPAKOM akan menjadi syarikat pertama diberi kuasa untuk menjalankan pemeriksaan ini, maknanya mereka meneruskan operasi sedia kala, cuma kali ini, mereka akan bersaing dengan syarikat lain, tiada lagi hak eksklusif,” katanya.
Tambah Loke, Puspakom dan mana-mana syarikat berkelayakan dibenarkan untuk menjalankan pemeriksaan ke atas kenderaan motor jika diberikan kuasa di bawah Seksyen 126(1) Akta 333. Dua permohonan telah diterima secara rasmi setakat ini bagi mendapatkan lesen sebagai operator pemeriksaan kenderaan motor.
“Dalam libat urus yang kita buat sebelum ini, ada 50 syarikat menyatakan minat, namun kita sudah terima dua permohonan rasmi dan sebab itu kita membuka permohonan sehingga 31 Oktober ini.
“Kita mahu melihat berapa banyak syarikat yang mengemukakan permohonan, lagi awal mereka kemuka permohonan, lagi cepat kita buat penilaian dan mengeluarkan lesen,” katanya.
Penilaian akan dilakukan untuk setiap permohonan di bawah Akta 333 sebelum diluluskan dan diberikan lesen.
“Mana-mana syarikat yang sudah lulus penilaian, kita akan beri lesen seperti mana kita bagi lesen kepada PUSPAKOM hari ini, sebab mereka sudah beroperasi selama ini.
“Tapi lesen ini juga akan diberikan kepada syarikat lain jika mereka memenuhi penilaian kita,” katanya.