Muhyiddin merayu agar Bajet 2021 disokong
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengajak semua pihak menyokong Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 6 November ini.
Dalam perutusan khas situasi semasa Covid-19 yang disiarkan secara langsung di televisyen hari ini, Muhyiddin berkata bahawa belanjawan akan menyediakan pelbagai peruntukan kepada agensi kerajaan, bantuan kepada rakyat jelata dan insentif kepada sektor korporat, 3 industri dan perniagaan dalam menghadapi Covid-19 memulihkan ekonomi negara.
“Saya berharap, semua ahli parlimen dapat mengenepikan perbezaan politik untuk memastikan Bajet 2021 diluluskan demi kepentingan rakyat dan negara.
“Marilah kita letakkan kepentingan rakyat mengatasi segala kepentingan lain.
“Satu bentuk persefahaman boleh dirangka dalam kalangan ahli-ahli parlimen untuk membolehkan Bajet 2021 diluluskan dengan sokongan ahli parlimen kerajaan dan pembangkang,” katanya.
Ahi parlimen pembangkang sebelum ini menggesa Muhyiddin agar mengadakan perbincangan dengan pembangkang berhubung Belanjawan 2021.
Antaranya, veteran DAP Lim Kit Siang yang menyarankan perjanjian “keyakinan dan pembekalan.” (confidence-and-supply)
Dalam sistem parlimen Westminster perjanjian “keyakinan dan pembekalan” bermaksud sesebuah parti itu atau ahli palimen bersetuju menyokong undi percaya atau rang undang-undang kerajaan sedia ada, sama ada dengan pengundian memihak kepada dasar tersebut atau pun mengecualikan diri.
Ini selepas timbul desas-desus yang mempersoalkan mengenai majoriti sokongan kepada Muhyiddin di parlimen.
Sementara itu, Muhyiddin berkata peruntukan dalam bajet turut mengambil kira rintihan lebih 800,000 warga Malaysia yang telah hilang pekerjaan dan sumber pendapatan akibat penularan Covid-19 sejak awal tahun ini.
“Dalam mengurus gelombang ketiga Covid-19 pada waktu ini, kerajaan cuba sedaya-upaya untuk mengelakkan kesan yang terlalu buruk ke atas ekonomi negara yang boleh memberikan kesan negatif kepada kehidupan ekonomi rakyat,” katanya.
Sejak kebelakangan ini, terdapat banyak permintaan agar pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) diizinkan mengeluarkan simpanan daripada Akaun 1 bagi mengurangkan kesulitan kewangan yang mendesak.
Muhyiddin, bagaimanapun, sebelum ini berkata sukar untuk kerajaan menimbangkan perkara berkenaan, walaupun sedang memperhatikan keperluan rakyat.
Sumber: Malaysiakini