Motif upload ‘footage’?

Kuala Lumpur: “Saya terus komen pada Erma (Erma Fatima), apa cerita korang (awak semua) buat ini, gila ke?”
Itu kata pelakon terkenal Datin Seri Umie Aida selepas melihat video ‘teaser’ drama Perempuan Itu yang dimuat naik pelakon Zul Ariffin hingga tular dan mencetuskan kontroversi.
Umie Aida dalam hantaran di Instagram berkata, beberapa pihak yang terbabit harus tampil menjelaskan kenapa babak itu dibuat.
“Hmmm, baru sempat untuk saya berkongsi kata-kata sikit mengenai isu ini. Dari awal lagi Erma luahkan rasa risaunya dia, bila tengok ‘footage’ cerita ini. Dia kata mereka ‘shoot’ sangat ‘daring’.
“Saya pesan awak (Erma) sebagai penerbit kena tegas dan info mereka ‘shoot’ atas landasan yang dibenarkan. Dan lebih mengecewakan bila ada pihak yang sanggup keluarkan ‘footage’ (yang Erma nak buang) dari penyunting tanpa keizinan pihak penerbit dan muat naik di Instagram.
“Motif keluarkan ‘footage’ yang belum disunting dan teruja dengan babak yang kurang indah itu dikongsikan untuk tular? Dan saya sempat tengok hantaran dari IG pelakon itu. Dalam isu ini beberapa pihak yang terbabit harus ke depan dan jelaskan kenapa babak itu jadi sampai tahap begitu?” katanya.
Dalam hantaran sama, Umie juga adik kepada Erma berkata, semoga apa yang berlaku menjadi pengajaran buat semua.
“Sayangnya bila ada pihak tak bertanggungjawab dalam tugas yang diberikan mengikut landasan yang dibenarkan. Antara skrip dan interprestasi pengarah berbeza.
“Lakon layar dibuat oleh pengarah bukan penulis skrip atau penerbit. Dan sebagai pelakon wajar tolak lakon layar yang di luar kewarasan. Semoga jadi pengajaran buat kita semua,” katanya.