Mengintai dari tirai kamar kembali tular, Ezad pening pelbagai tawaran

Mengintai dari tirai kamar kembali tular, Ezad pening pelbagai tawaran

Kuala Lumpur: Penyanyi Ezad Lazim ‘pening’ memikirkan tawaran pelbagai pihak untuk merakamkan semula lagu nyanyiannya bersama Exists, Mengintai Dari Tirai Kamar yang kembali menjadi fenomena selepas dinyanyikan YouTuber Indonesia, Nabila Maharani Widyadewi secara duet dengan Zinidin Zidan yang mendapat lebih 45 juta tontonan di YouTube.

Lagu ciptaan Saari Amri pada 1997 yang ditukar judulnya kepada Buih Jadi Permaidani untuk pasaran Indonesia itu tular selepas dinyanyikan kembali oleh YouTuber itu.

Ezad berkata, dia kini menerima lebih dari lima tawaran untuk merakamkan kembali lagu itu.

“Macam-macam cadangan nak dibuat contohnya nak rakam versi terbaru, nak duet dengan penyanyi baru dan penyanyi Indonesia. Malah, nak buat filem pun ada. Ada juga pihak dari Indonesia nak buat lagu ini secara berduet dengan seorang penyanyi di sana,” katanya kepada Harian Metro.

Selain itu, ada juga perancangan untuk menggandingkan Ezad bersama Nabila dan Zidan.

“Sekarang saya sedang fikirkan mana yang sesuai. Tawaran ini bukan untuk saya sahaja tapi membabitkan Exists pun ada. Ada perbincangan untuk merakam semula lagu-lagu ini dan juga lagu lain dengan mereka,” katanya.

Ezad berterima kasih kepada Nabila dan Zidan serta ramai lagi penyanyi di Indonesia yang menyanyikan semula lagu ini.

“Banyak tawaran datang tahun ini dan saya anggap rezeki bila lagu ini kembali tular dan ia beri impak positif kepada kerjaya kami. Kami sekarang perlu pilih yang betul-betul sesuai dan kena tanya pendapat pelbagai pihak. Saari Amri sendiri pun ada tawaran untuk kami. Ikutkan saya lebih suka kalau gabungkan pasaran Malaysia dan Indonesia kerana pasaran di Indonesia besar,” katanya.

Menurutnya, hasil pendapatan yang diraih menerusi penstriman lebih banyak diperoleh dari Indonesia.

“Sedikit sebanyak ia diikuti oleh peminat Malaysia. Kami pun dah lama tak masuk ke Indonesia. Ia sesuatu yang tak disangka dan kami anggap bonus serta rezeki. Insya-Allah tahun ini akan ada hasil terbaharu daripada Exists,” katanya.