Menantu Tok Ti kongsi video pulang ke kampung Palembang

Bintang asal Indonesia dan usahawan berjaya, Tya Arifin menyatakan rasa gembira apabila hajatnya untuk pulang ke kampung halaman di Palembang tercapai selepas lebih dua tahun tidak bersua muka dengan orang tuanya baru-baru ini.
Ia susulan kelonggaran dalam kebenaran merentas negeri yang sememangnya mampu membuatkan mereka yang sudah lama memasang niat untuk pulang ke pangkuan keluarga sudah mampu menarik nafas lega.
“Keputusan untuk balik kampung dibuat pada saat akhir. Jadi, suami tidak dapat ikut kerana beliau memerlukan visa pelancong untuk memasuki Palembang.
“Proses mendapatkan visa mengambil masa. Jadi, saya dan suami ‘berpisah’ seketika. Suami juga boleh menguruskan perniagaan jus kesihatan kami,” katanya.
Meskipun sebak memeluk tubuh bapanya ketika menjemput keluarga kecilnya di lapangan terbang, aktres yang mula dikenali menerusi drama Preman Pensiun ini dilihat tetap bersyukur kerana masih diberi rezeki untuk bertandang kembali ke negara asalnya.
“Alhamdulillah sampai di Palembang setelah 2 tahun lebih bertemu, Inilah kehidupan. Sebagai anak, kita haruslah lalukan yang terbaik untuk ibu bapa dan keluarga kita selagi mereka masih ada,” jelasnya.
Dalam pada itu, Tya juga tidak menyangka pandemik COVID-19 nyata memberi tamparan hebat terhadap ikatan persaudaraan apabila anak bongsunya Azzahra atau lebih mesra disapa Ara yang kini berusia 3 tahun difahamkan sudah tidak menginati siapakah datuk dan neneknya.
“Tya terkejut kerana sampai sahaja di Palembang, Ara dijemput oleh datuknya. Dia asyik menangis. Pada permulaan, Ara tampak sangat janggal kerana lama tidak bertemu. Namun selepas beberapa hari di sini, dia makin manja dengan datuk dan neneknya,” tambahnya lagi.