M Daud Kilau alami sesak nafas, kini kritikal di hospital
Artis veteran tanah air, Datuk M Daud Kilau dilaporkan dalam keadaan kritikal selepas mengalami sesak nafas tengah malam Rabu.
Penyanyi berusia 84 tahun itu dihantar ke Hospital Teluk Intan sekitar jam 12 malam untuk menerima rawatan dan kini berada dalam keadaan separuh sedar.
Anaknya, Ahmad Zaini, 51, berkata, bapanya masih dalam pemantauan rapi doktor dan terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan.
“Doktor maklumkan kepada keluarga bahawa Dato (M Daud Kilau) kritikal, ada masalah paru-paru berair.
“Kami sekeluarga membenarkan doktor untuk membuat CPR (bantuan pernafasan kecemasan) dan masukkan tiub bagi membantu pernafasannya,” katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.
Penyanyi yang mendapat julukan Raja Gelek Malaysia itu pernah menjalani prosedur pembedahan angioplasty di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur, dua tahun lalu.
Pada Jun lalu, ketika ditemui media, pelantun lagu popular Cek Mek Molek itu menyatakan hasrat masih mahu terus menghiburkan peminat, namun terpaksa dilupakan berikutan keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan.
Kali terakhir beliau beraksi di pentas adalah pada enam tahun lalu dan selepas itu tidak lagi aktif biarpun masih menerima jemputan untuk membuat persembahan. –