Lelaki warga Malaysia terlibat skandal rasuah terbesar tentera laut Amerika diburu, lari dari tahanan

Lelaki warga Malaysia terlibat skandal rasuah terbesar tentera laut Amerika diburu, lari dari tahanan

Seorang kontraktor pertahanan yang merupakan rakyat Malaysia dilapor melarikan diri daripada tahanan rumah di San Diego, Amerika Syarikat, dedah agensi penguatkuasaan US Marshal pada Isnin.

Polis dilapor bergegas ke rumahnya pada Ahad selepas menerima amaran bahawa gelang pemantauan yang dipasang pada kakinya berdepan dengan masalah. Sebaik tiba di rumahnya, mereka mendapati suspek sudah tiada dan menemui alat pemantauan yang sudah dipotong.

Menurut saksi di kejiranan tersebut, mereka melihat sebuah trak di kawasan rumah suspek pada hari kejadian, dipercayai digunakan suspek untuk melarikan diri.

US Marshal memaklumkan pihak berkuasa dari pelbagai cabang kini dikerahkan untuk memburu suspek.

Memetik laporan AFP, suspek sebelum ini ditahan pada 2013 selepas terlibat dalam skandal rasuah terburuk melibatkan Tentera Laut Amerika Syarikat (US Navy).

Pada 2015, suspek telah mengaku bersalah memberi rasuah sebanyak USD 500,000 (RM 2.24 juta) kepada beberapa orang pegawai tertinggi US Navy bagi mendapatkan kontrak. Pendakwaraya kes itu turut mendedahkan suspek telah mengenakan caj melampau sebanyak USD 35 juta (RM 135 juta) terhadap US Navy.

Berikutan pelbagai masalah kesihatan yang dialaminya termasuk kanser buah pinggang, suspek kemudian dibenarkan menjalani perintah tahanan rumah pada 2018 selain akan bertindak sebagai saksi pendakwaan terhadap beberapa kes rasuah melibatkan pegawai tertinggi US Navy.

Setakat ini, empat pegawai seudahpun didapati bersalah, manakala 29 orang lagi tertuduh, terdiri daripada pegawai tertinggi US Navy dan kontraktor pertahanan yang lain turut mengaku bersalah sebelum ini.
Sumber: AFP