Lelaki rempuh stesen minyak gara-gara tertekan pedal minyak, pemilik rugi RM20,000

Lelaki rempuh stesen minyak gara-gara tertekan pedal minyak, pemilik rugi RM20,000

 

Suasana di stesen minyak di Taman Rambai Utama di sini bertukar kecoh apabila sebuah kereta merempuh masuk ke dalam kedai serbaneka premis itu, malam tadi.

Kejadian kira-kira pukul 10.30 malam itu dipercayai berlaku selepas pemandu kereta jenis Proton Saga berusia 57 dipercayai telah tertekan pedal minyak secara tidak sengaja.

Pengurus Stesen Minyak Petronas Taman Rambai Utama, Hafizi Che Hussin ketika ditemui pemberita memberitahu, ketika kejadian tiga orang pekerjanya sedang bertugas di bahagian kaunter.

“Selain mereka ada dua pelanggan sedang berurusan di mesin pengeluaran automatik (ATM) dalam premis tersebut.

“Mujurlah kereta itu merempuh cermin di bahagian tengah, kalau tidak pastinya pelanggan itu mengalami kecederaan parah,” katanya.

Tambahnya lagi, dia juga lega apabila kesemua individu yang berada dalam premis terselamat, selain jumlah pengunjung yang tidak begitu ramai ketika kejadian.

“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), sebelum kejadian lelaki berkenaan dilihat berada di pam untuk mengisi minyak, namun meletak semula nozel dan masuk ke dalam kereta dalam keadaan kaki kanannya di luar serta pintu kereta belum tertutup.

“Secara tiba-tiba, kereta itu terus memecut lalu merempuh cermin kaca kedai dan mengejutkan pekerja serta pelanggan yang berada dalam premis,” ujarnya yang berdepan kerugian sebanyak RM20,000.

Tambahnya lagi, selepas kejadian lelaki tersebut keluar dari kereta tanpa sebarang kecederaan dan mengamuk ketika cuba ditenangkan oleh orang ramai.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit dalam kenyataan hari ini mengesahkan kejadian tersebut dan kes disiasat dibawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. -KOSMO! ONLINE