Lelaki ditetak lepas tuntut hutang bayaran kerja

Lelaki ditetak lepas tuntut hutang bayaran kerja

Seorang lelaki bertindak menyerang individu yang menuntut hutang bayaran kerja dengannya menggunakan parang dalam kejadian di Jalan Mulia 1/1, Taman Mulia Jaya, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, ketika kejadian, mangsa yang bekerja sebagai penghantar barang berusia 41 tahun bersama rakannya berada di sebuah kedai di lokasi kejadian 7.10 malam.

“Mangsa kemudian melihat suspek memegang parang panjang lalu mengejarnya sebelum ditetak menggunakan senjata itu.

“Kejadian itu menyebabkan mangsa cedera di bahagian lengan kiri serta kaki kanan dan mendapatkan rawatan di Hospital Ampang,” katanya.

Mohamad Farouk berkata, kejadian itu dipercayai berlaku kerana mangsa menuntut hutang bayaran kerja daripada suspek menyebabkannya tidak berpuas hati dengan tuntutan terbabit.

“Susulan itu, kami menahan seorang lelaki berusia 37 tahun yang berkerja sebagai buruh di Taman Dagang, di sini, kira-kira jam 11 malam tadi.

“Kami turut merampas parang yang digunakan dalam kejadian itu. Semakan dilakukan mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah,” katanya.

Katanya, permohonan reman terhadap suspek akan dibuat hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.