Lelaki cemas kereta tenggelam
Kuala Berang: Lelaki cemas apabila mendapati kereta yang ditinggalkan di hadapan sebuah kedai makan berhampiran persimpangan lampu isyarat Jalan Sekayu, di sini, ditenggelami banjir dalam kejadian jam 7 malam ini.
Maarouf Yasin, 38, berkata, dia meletakkan Perodua Myvi di situ kerana yakin air banjir tidak akan melimpah ke kawasan berkenaan.
“Isteri, anak dan mentua pula sudah ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Durian Bador, di sini, selepas kediaman di Kampung Lubok Pait ditenggelami banjir.
“Saya bekerja di Kemaman dan meletakkan kereta di sini sebelum ke Kampung Tanjung Putat bersama sepupu untuk ke PPS menggunakan bot.
“Bagaimanapun, sebaik tiba di Kampung Tanjung Putat, saya mendapati air deras menyebabkan saya terkandas sementara menunggu keadaan reda.
“Pada 7 malam tadi, sepupu, Hanif Saudi, 25, menunjukkan tular air naik di tempat saya letak kereta dan segera kembali ke sana dengan motosikal. Sebaik tiba saya lihat kereta sebahagiannya sudah tenggelam, saya panik,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Menurutnya, dia kemudian mendapatkan bantuan orang ramai mengangkat kenderaan sedikit demi sedikit sehingga ke kawasan cetek.
“Saya tidak sangka keadaan jadi begini kerana sebelum ini kawasan kampung mentua tidak pernah dinaiki air, lagipun dalam tempoh seminggu ini cuaca panas dan tiada tanda-tanda banjir apatah lagi sekarang sudah memasuki penghujung Februari.
“Jadi saya sifatkan banjir ini pelik dan paras air tinggi sehingga ada yang mencecah paras bumbung,” katanya.