Lelaki berpakaiaan tidak senonoh depan istana ditahan polis

Lelaki berpakaiaan tidak senonoh depan istana ditahan polis

Johor Bahru: Perbuatan tidak senonoh dua pempengaruh lelaki berpakaian wanita mencolok mata bergambar di hadapan Laman Mahkota Bukit Serene di sini mengundang padah apabila ditahan polis hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd Wahid berkata, dua lelaki berkenaan masing-masing berusia 24 dan 27 tahun ditahan di Taman Nusa Bestari dan di bandar raya Johor Bahru di sini antara 12.30 hingga 1.30 tengahari.

Beliau berkata, mereka ditahan bagi membantu siasatan suatu paparan tular di Facebook menunjukkan imej dua lelaki tempatan berpakaian wanita merakam gambar kurang sopan di hadapan Laman Mahkota Istana Bukit Serene.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang mendatangkan kegetaran awam serta menggugat keharmonian negara yang jika disabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

“Kesalahan juga boleh dihukum mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian yang boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya.

“Siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana saringan awal ujian air kencing kedua-duanya didapati mengandungi dadah jenis ketamin,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

POLIS menahan dua pempengaruh yang berkelakuan kurang sopan di hadapan Laman Mahkota Istana Bukit Serene. FOTO Ihsan PDRM

Kedua-dua suspek ditahan reman bagi membantu siasatan.

“Orang ramai dinasihati lebih beretika dan tidak menggunakan platform laman sosial untuk menyebarkan imej yang boleh menggugat keharmonian negara.

“Kami tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman serta keselamatan awam,” katanya.

Gambar dua pempengaruh itu tular di media sosial hingga ia menerima pelbagai reaksi daripada netizen terutama penduduk Johor yang tersinggung dengan perbuatan berkenaan kerana laman berkenaan terletak di hadapan pintu utama Istana Bukit Serene sekali gus dianggap sebagai menghina institusi di Raja Johor selain menjejaskan imej bandar raya ini yang menjadi pintu masuk ke negara ini.