Layan siput sedut ‘berlumba’, ramai terhibur celoteh Aswat
Satu kandungan unik di TikTok yang memaparkan sekumpulan siput sedut ‘berlumba’ menarik perhatian orang ramai.
Rata-rata terhibur dengan celoteh TikTokers, @tansri_ash dengan loghat utaranya yang mengadakan siaran ‘live’ acara perlumbaan siput sedut.
Penangan binatang dengan nama saintifik Cerithidea obtuse itu menyaksikan sehingga 30,000 penonton semasa siaran langsung diadakan.
Haiwan yang sinonim dengan masak lemak cili api tersebut dilihat berada dalam trek larian dan ‘mewakili’ negeri-negeri di Malaysia.
Akhirnya, Kedah diumum sebagai juara keseluruhan dengan ‘pasukan’ yang kalah dikatakan pasrah berkumpul di satu sudut gelanggang.
Lucunya juga, si juara dilihat tidak meninggalkan podium sekaligus menggeletek perasaan netizen.
@tansri_ash 😂#tansriash #siputsedutrace #LIVEhighlights #TikTokLIVE #fypシツ
Ada yang berseloroh menganggap siput sedut terbabit enggan beranjak dari podium kerana bimbang jadi bahan masak lemak cili api.
Bagi peminat tegar siput sedut pula, mereka berharap harga haiwan bercangkerang yang juga dikenali sebagai belitung itu tidak naik berganda kesan popular di media sosial.