“Laku terukss! Hampir ‘Sold Out’ setiap hari” – Lelaki Jepun buka gerai nasi kandar di Tokyo
Nasi kandar merupakan makanan yang cukup popular yang menjadi salah satu antara makanan kegemaran rakyat Malaysia.
Seorang lelaki Jepun dikenali sebagai Tateda yang pernah transit di Kuala Lumpur telah ‘bertemu’ dengan nasi kandar lalu memutuskan untuk membuka sebuah restoran nasi kandar di Jepun.
Menurut Japanese Heart, Zero-Two Nasi Kandar Tokyo merupakan sebuah restoran yang menjual nasi kandar dan ia terletak berdekatan dengan Stesen Otemachi dan Chiyoda.
Pemilik restoran itu juga pernah membuka restoran makanan India di Osaka dan disebabkan itu, dia selalu mengembara ke negara India.
Tateda amat mengemari rasa dan keunikan nasi kandar, karinya juga sedikit berbeza dari makanan India. Oleh itu, dia ingin membuka restoran nasi kandar dan impiannya menjadi kenyataan apabila restoran miliknya itu dibuka di Tokyo tahun ini.
Malah, bahan-bahan yang digunakan di restoran itu juga dikatakan halal dan mempunyai pilihan menu vegetarian. Sayur-sayuran yang digunakan dalam hidangan restoran Zero Two juga segar dan diperoleh secara organik terus dari petani tempatan.
Lebih menarik lagi, nasi kandar di restoran ini terjual dengan sangat pantas oleh kerana rasanya yang sedap dan sangat menyelerakan, ia juga menjadi kegemaran penganut agama Islam di Tokyo.
Restoran itu juga menerapkan hiasan dalaman seperti lukisan dinding dan tanda papan ‘Terima Kasih’, bahkan cahaya neon nasi kandar di pintu masuk bagi memberikan rasa yang sama seperti restoran nasi kandar di Malaysia.