Kutipan cecah RM90 juta, penerbit Mat Kilau hadiahkan pekej umrah untuk produksi

Kutipan cecah RM90 juta, penerbit Mat Kilau hadiahkan pekej umrah untuk produksi

BERJAYA meraih keuntungan besar dalam filem pertama, penerbit Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan iaitu Abdul Rahman Mat Dali dari Studio Kembara Sdn Bhd bakal berkongsi rezeki untuk membantu golongan yang memerlukan.

Bukan itu sahaja, Rahman juga akan memberi imbuhan bonus kepada kru produksi serta barisan pelakon terlibat sehingga berjaya mencatat sejarah tersendiri sebagai filem dengan kutipan tertinggi dalam sejarah perfileman tempatan.

“Syukur dengan nilai kutipan, kita telah berjaya pulang modal. Namun tidak perlulah saya beritahu berapa jumlahnya kerana ia masih ditayangkan. Penonton juga boleh kira sendiri.

mat kilau 3

Barisan pelakon Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan.

“Dengan pencapaian ini, saya juga akan beri imbuhan yang munasabah kepada semua produksi. Mungkin bukan hanya wang ringgit, tetapi boleh juga berikan hadiah dalam bentuk pakej ibadah umrah.

“Selain itu saya merancang untuk membantu anak-anak yatim yang susah dengan memberikan biasiswa kecil untuk pembiyaan sekolah mereka. Semua ini akan dilakukan selepas filem Mat Kilau tamat tayangan nanti,” katanya kepada mStar.

Di sebalik kejayaan filem ini, Rahman turut meluahkan rasa kecewa apabila masih ada pihak tidak bertanggungjawab membuat rakaman secara haram di pawagam dan memuat naik di media sosial selain melakukan edaran cetak rompak.

Memandang serius hal ini, Rahman bersama pasukan produksi juga telah membuat laporan berkaitan hal tersebut kepada pihak berkuasa termasuk Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

“Tak sangka isu cetak rompak masih lagi berlaku sekarang ini. Saya dapat tahu ada yang menjual filem ini dengan harga RM20.

“Laporan telah dibuat kepada pihak berkuasa dan dalam masa sama kami juga memantau di semua palform media sosial. Jika ternampak mana-maan rakaman secara haram kami akan ambil tindakan,” jelasnya.

Mungkin bukan hanya wang ringgit, tetapi boleh juga berikan hadiah dalam bentuk pakej ibadah umrah

ABDUL RAHMAN MD DALI

PENERBIT

Filem arahan Syamsul Yusof ini mula ditayangkan sejak 23 Jun lalu dan mendapat respons baik pelbagai kelompok masyarakat dari pelbagai latar belakang dan peringkat umur.

Mengambil iktibar dari perjuangan tokoh negara Mat Kilau, Rahman juga berharap karya ini boleh menjadi bahan rujukan pembelajaran di sekolah kerana ia mengetengahkan pelbagai nilai-nilai murni.

mat kilau 2

Syamsul sebagai pengarah Mat Kilau.

“Saya juga mendapat maklum balas dalam kalangan guru sekolah dan mereka juga setuju jika karya ini menjadi salah satu bahan rujukan untuk sekolah.

“Perjuangan Mat Kilau boleh dibincangkan lebih lanjut lagi kerana ia bukan sahaja tentang perjuangan menentang penjajah, tetapi turut mengandungi nilai-nilai baik untuk dipelajari,” ujarnya.