Kucing harga pasaran gelap
Kuala Lumpur: Harganya mampu menyamai sebuah kereta model baru di pasaran. Itu nilai anggaran bagi seekor kucing liar Afrika (Leptailurus serval) diseludup masuk ke negara ini.
Berdasarkan maklumat, seekor kucing liar ini boleh mencecah harga AS$15,000 (RM62,800) seekor di pasaran gelap.
Ketua Pengarah Perhilitan Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, operasi itu adalah antara kerjasama membabitkan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) bagi membenteras aktiviti membabitkan jenayah hidupan liar.
Beliau berkata, serbuan dilakukan terhadap sebuah kediaman mewah di Seri Kembangan pada jam 9.30 malam kelmarin.
“Hasil dari pemeriksaan dilakukan, pihak kami menemui tiga ekor kucing liar Afrika atau Serval Cat diletakkan di dalam sangkar.
“Turut ditemui dua ekor monyet spesies Blue Monkey yang dipercayai berasal dari benua Afrika. Haiwan liar itu turut ditempatkan di dalam sangkar kecil di kediaman berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, dua penghuni kediaman itu berusia 20-an dan 30-an ditahan untuk soal siasat awal.
“Pasangan itu gagal menunjukkan lesen menyimpan semua hidupan liar dilindungi berkenaan.
“Susulan itu, semua hidupan liar itu dirampas dan dibawa ke Ibu Pejabat Perhilitan Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.
“Laporan polis turut dibuat di Balai Polis Seri Kembangan dan kes disiasat di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716),” katanya.
Kadir berkata, siasatan akan dijalankan bagi mendapatkan maklumat bagaimanapun haiwan liar dilindungi itu dibawa masuk suspek ke negara ini.
Beliau berkata, pihaknya memandang serius aktiviti menyimpan dan menjual hidupan liar dilindungi termasuk spesies kucing hutan tempatan atau nama saintifiknya Prionailurus Planiceps.
Sebelum ini, dua ekor kucing hutan spesies Flat Headed Cat bernilai sekitar RM50,000 berjaya dirampas Batalion 11 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuching di sebuah rumah daerah Bau, Sarawak.