Kos semakin meningkat, Eco-Shop bakal naik harga RM2.40 bermula 1 Jun?

Kos semakin meningkat, Eco-Shop bakal naik harga RM2.40 bermula 1 Jun?

 

Harga yang ditawarkan jauh lebih murah berbanding kedai serbaneka lain menjadi penyebab kedai seperti Eco-Shop menjadi pilihan ramai rakyat Malaysia.

Walau bagaimanapun, tekanan ekonomi yang dirasai ini memperlihatkan kedai menjadi pilihan rakyat untuk membeli keperluan pada harga yang lebih jimat dilaporkan bakal menaikkan harga baharu RM2.40.

Pengumuman itu menerusi perkongsian tular di laman sosial yang memaparkan notis perubahan harga yang dipamerkan di salah sebuah cawangan di Subang Jaya.

Kenaikan harga barangan itu dilihat meningkat sebanyak 20 sen berbanding pada Disember lalu iaitu hanya 10 sen.

“Kami memaklumkan bahawa mulai 1 Jun 2022, harga bagi setiap barangan di Eco-Shop akan ditukar daripada RM2.20 kepada RM2.40 disebabkan faktor peningkatan kos.

“Dengan itu, kerja-kerja perubahan harga di semua platform akan dilakukan secara berperingkat,” katanya.

Eco-Shop Naik Harga

Namun, tinjauan Odisi mendapati tiada pengumuman rasmi dilakukan oleh pihak Eco-Shop di laman sosial rasmi mereka berhubung perubahan harga berkenaan.

Penularan foto berkenaan mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai terutama yang sering mengunjungi ke gedung serbaneka popular itu.

Ramai yang mengaitkan punca utama kedai harga jimat terbabit menaikkan harga barangan disebabkan oleh peningkatan gaji minimum RM1,500 yang dikuatkuasakan kerajaan pada 1 Mei lalu.

“Semua pun naik, bilalah gaji nak naik.”

“Kenaikan gaji minimum mungkin menyebabkan harga barang makin naik.”

“Hyperinflasi sudah bermula.”

“Gaji naik tak ada beza. Gaji naik barang naik.. kita masih ditakuk lama tiada perubahan, tak ada bangga basic RM1,500 sama je sampai bila-bila kalau gaji naik harga barang kekal atau turun baru rasa perubahan.”

“Rasanya RM2.20 baru je buat. Dah naik lagi. Aku pergi beli aku cari barang yang betul-betul memang jimat beli je. Kena pandai beza harga.”

Terdahulu, Eco Shop Malaysia menaikkan harga barangan kepada RM2.20 di Semenanjung Malaysia dan RM2.30 hingga RM2.40 bagi Sabah, Sarawak dan Langkawi bermula 1 Disember 2021.