Kongsi foto bersama lelaki dengan busana pengantin, Nabilah Razali kahwin rahsia atau gimik?
TIADA angin tiada ribut, penyanyi Nabila Razali tiba-tiba memadam semua gambar di Instagram miliknya dan menggantikan foto yang memperlihatkan dia bersama seorang jejaka dalam persalinan baju pengantin berwarna putih.
Menerusi foto berbentuk kolaj itu bagaimanapun tidak mendedahkan wajah lelaki berkenaan yang berpakaian kasual rona sama dengan menampakkan bahagian seluar yang tertera jenama Christian Dior.
Lebih menimbulkan kesangsian peminat, Nabila turut menutup bahagian komen di laman sosial itu menguatkan lagi ada sesuatu sedang disembunyikan penyanyi tersebut.
Gambar berbentuk kolaj di Instagram Nabila.
Menerusi Instastory pula, Nabila atau lebih mesra dengan sapaan Bella turut memuat naik beberapa lagi foto yang menunjukkan lokasi majlis perkahwinan di tepi pantai selain jambangan bunga tangan.
Tidak hanya itu, Nabila turut memuat naik foto hitam putih yang memperlihatkan jejaka berkenaan memegang sebentuk cincin bersama seutas rantai.
Tindakan itu sekaligus menimbulkan tanda tanya dalam kalangan peminat sama ada Nabila sudah melangsungkan perkahwinan secara rahsia.
Atau pun, ia sekadar gimik bagi melancarkan lagu terbaharunya seperti mana pernah dilakukan sebelum ini.