“Semua dapat hotel 5 star” – Khairul Aming tutup kilang 5 hari, bawa 100 staf bercuti di Penang
Pempengaruh dan usahawan, Khairul Aming bawa kesemua 100 staf bercuti di Pulau Pinang sebagai lokasi percutian mereka pada tahun ini selama lima hari.
Menerusi hantaran yang dimuat naik oleh Khairul Aming di laman Instagramnya, dia turut menyediakan penginapan hotel bertaraf lima bintang selain memberikan sejumlah wang perbelanjaan kepada staf.
Kata usahawan kelahiran Kelantan itu, antara aktiviti dilakukan sepanjang lima hari percutian tersebut termasuklah Escape Park, parasailing, banana boat dan sebagainya.
“Kita tutup kilang selama lima hari untuk bawa kesemua 100 staf Khairul Aming bercuti di Pulau Pinang.
“Semua staf dapat hotel 5 star bilik seaview, duit poket untuk shopping, main escape park, parasailing, banana boat, jetski, explore bandar georgetown, makan nasi kandar, grand dinner dan macam-macam lagi.
“Yang penting semua staf dapat berehat and bercuti dengan gembira,” katanya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen puji tindakan Khairul Aming yang melayani kesemua pekerjanya dengan adil malah ada individu yang berminat untuk bekerja di bawah syarikat pempengaruh tersebut.
Dalam pada itu, ramai menyifatkan Khairul Aming contoh seorang majikan baik kerana sentiasa menjaga kebajikan pekerjanya dan secara tidak langsung memberi kesan positif terhadap suasana kerja serta perkembangan individu di dalam pasukan.