“Baru boleh tidur dengan tenang” – Khairul Aming pesan tak perlu berhutang demi kemewahan
Pempengaruh media sosial, Khairul Aming pesan tak perlu berhutang demi mencapai kemewahan, namun orang ramai perlu membuat keputusan bijak dalam berbelanja.
Menerusi satu perkongsian di TikTok, Zocketzz telah memuat naik satu tangkap layar memaparkan siaran langsung daripada pempengaruh berusia 32 tahun itu.
Ketika siaran langsung berkenaan, Khairul menafikan dia mempunyai hidup yang mewah ketika masih bekerja di industri minyak dan gas sebelum ini.
Katanya, walaupun gaji permulaan ketika bekerja di industri itu besar, dia bagaimanapun tidak hidup bermewah kerana terpaksa menanggung perbelanjaan keluarganya.
@zocketzz Khairul Aming kongsi bagaimana beliau jaga personal financial. Baru-baru ini Khairul Aming kecoh di media kerana dijemput secara rasmi oleh Perdana Menteri New Zealand untuk bertemu dan bertukar pendapat #zocketzz #trending #viral #sembang #khairulaming #ka
“Orang kata kerja oil and gas mesti stabil. Oil and gas memang ada gaji permulaan yang orang kata ‘sihat’, tapi dia ‘sihat’ kena tengok tanggungan juga. Kalau kau menanggung seluruh keluarga tak cukup juga,” katanya.
Dalam pada itu, Khairul turut berkongsi dia membesar dalam keluarga yang biasa-biasa sahaja yang mana bapanya bekerja sebagai pekerja kontrak kerajaan manakala ibunya hanya bekerja sebagai penjual kuih.
“Dari kecil sampailah besar, saya jual kuih. Situasinya, saya duduk Kuala Lumpur (KL). Nak kena tanggung rumah sewa KL, kereta untuk keluarga dan saya juga tanggung ibu bapa saya. Jadi simpanan pun sikit, dalam RM100 atau RM200 sebulan,” ujarnya.
Tambahnya, ramai yang mempersoal mengapa Khairul tidak hidup bermewah walaupun sudah mencapai kejayaan namun pempengaruh itu menegaskan dia ada sebab tersendiri tidak berbelanja banyak.
“Orang kata kenapa tak bermewah-mewah? Bila kau dalam keadaan yang mana duit tu cukup tapi kau harap kau ada lebih dan bila diberikan rezeki lebih, kau tak nak dah ada dalam keadaan tu.
“Contohnya kau rasa hidup kalau ada gaji RM10,000 sebulan, semua masalah hidup akan hilang. Bila dah capai RM10,000 sebulan, kau belanja RM9,500, tinggal RM500.
“Memang tak cukup, kau rasa terbeban dan rasa kalau ada RM100,000 sebulan, hidup akan tenang. Dah dapat Rm100,000 sebulan, kau ambil pula kereta mewah bayar RM95,000 ribu sebulan, tinggal RM5000, kau rasa tak cukup pula. Sampai ke sudah tak habis,”katanya.
Susulan itu, Khairul mengambil pendekatan laain yang mana dia hanya meningkatkan jumlah pendapatannya, namun tidak menaikkan jumlah perbelanjaan.
Pada masa yang sama, Khairul Aming pesan tak perlu berhutang demi gaya hidup yang mewah agar hidup lebih tenang di kemudian hari.
“Apa yang saya buat, saya naikkan pendapatan tapi kekalkan perbelanjaan sampailah ada satu gap yang besar antara pendapatan dan perbelanjaan. Masa tu, barulah saya tingkatkan gaya hidup saya dengan ambik sebahagian daripada pendapatan.
“Nak beli apa-apa, beli terus. Boleh bayar secara tunai, boleh buat tu, boleh buat sendiri. Tak payah nak hutang sangat, kau boleh tidur dengan tenang.
“Hah, itulah sebab kenapa tak upgrade sangat hidup. Itu dari segi personal decision,” kongsinya.
Terdahulu, Khairul menjadi bualan ramai selepas menerima kunjungan hormat daripada Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon di sebuah restoran di ibu kota pada Selasa.
Khairul berkata pertemuan itu sebagai tanda penghargaan daripada pihak New Zealand untuk video percutian sambil memasak yang dihasilkannya di negara berkenaan.