Kerajaan setuju lanjutkan cuti bersalin kepada 98 hari & cuti paterniti 7 hari.

Kerajaan setuju lanjutkan cuti bersalin kepada 98 hari & cuti paterniti 7 hari.

KUALA LUMPUR – Jangka masa untuk cuti bersalin kini dilanjutkan kepada 98 hari, manakala cuti paterniti lelaki dipanjangkan selama tujuh hari.

Lanjutan cuti berkenaan diumumkan selepas mendapat sokongan ahli Dewan Rakyat dan diluluskan dalam Rang Undang-undang Kerja (Pindaan) 2021.

Menurut Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim, cuti paterniti ini hanya diberikan kepada pekerja lelaki yang sudah berkahwin. Namun, ia tidak terhad kepada satu isteri sahaja.

“Cuti ini hanya untuk pekerja lelaki yang sudah berkahwin dengan pasangannya, bekerja 12 bulan dengan majikan yang sama dan memaklumkan kepada majikan 30 hari sebelum isteri bersalin.

“Cuti ini boleh diambil mulai dari hari isteri bersalin,” kata Awang memetik laporan Utusan berkait pindaan fasal itu.

Menurut beliau, cuti paterniti amat penting mengingat tanggungjawab suami atau bapa adalah menjaga keluarga, di samping dapat menenangkan emosi isteri yang masih belum stabil.

“Kementerian Sumber Manusia berpandangan adalah wajar pekerja lelaki yang berkahwin diberikan cuti paterniti supaya mereka dapat bersama-sama isteri menyambut kelahiran anak, menjaga isteri yang baru bersalin dan bayi yang baru dilahirkan serta menyelesaikan urusan tertentu seperti urusan pendaftaran anak,” ujar beliau.

Tambah Awang, tujuan pindaan itu adalah untuk memberi ruang dan masa yang mencukupi kepada suami bagi menguruskan anak yang baru lahir.

“Cadangan ini juga selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia Ceraian SR.5.4.2 yang menekankan konsep mengutamakan keluarga.

Sementara itu menurut Awang, ketetapan maksimum cuti paterniti pekerja lelaki untuk lima kelahiran akan disemak dari semasa ke semasa.

“Ini sebagai permulaan dan setiap dua tahun kita akan semak balik akta yang ada dan kita akui ada masih ada kelemahan, namun ini manfaat untuk semua kumpulan pekerja terutama B40,” tambah beliau.

Penggubalan Akta Kerja atau Akta 265 bertujuan memberi perlindungan dan kebajikan kepada golongan pekerja.

Akta ini berkuat kuasa di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan dan dilaksanakan melalui penetapan terma-terma dan syarat-syarat pekerjaan minimum.

Sebelum pindaan cuti bersalin 98 hari dibuat, tempoh cuti bersalin yang diberikan kepada pekerja wanita adalah 90 hari.

Manakala, cuti paterniti untuk pekerja lelaki yang isterinya melahirkan anak adalah selama tiga hari.