Kerajaan PN cadang caj 20 sen bagi pembelian dalam talian RM200 ke atas
Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) bercadang mengenakan caj perkhidmatan 20 sen bagi pembelian di bawah RM1,000 melalui platform dalam talian.
Timbalan Menterinya, Zahidi Zainul Abidin berkata, ia sebagai langkah untuk menambah kewangan atau mengumpul dana khas bagi membantu B40, termasuk menambah baik pembangunan komunikasi di luar bandar.
“Perkara ini sedang (dibincangkan) dalam mesyuarat dan perancangan untuk kita bentangkan kepada kerajaan supaya dapat mencari sumber lain yang tidak membebankan rakyat dan dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
“Maka, bayaran tambahan ini seakan caj perkhidmatan yang akan dikenakan dan sekiranya pembelian itu lebih RM1,000, maka caj tambahan dikenakan adalah 40 sen,” katanya selepas menghadiri Program Merdeka@Komuniti Peringkat Kelantan di Pengkalan Petah hari ini.
Beliau bagaimanapun berkata, pembelian di bawah RM200 tidak akan dikenakan caj itu, manakala tambahan 20 sen perlu dibayar pengguna bagi gandaan RM1,000 berikutnya.
Sumber: Bernama