Kejadian ‘ngeri’ di sungai, gadis hilang jari kaki ‘dikunyah’ piranha & 30 pengunjung lain cedera
Seorang remaja perempuan berusia 13 tahun dikejarkan ke hospital bagi menjalani pembedahan selepas jari kakinya ‘dimamah’ oleh ikan piranha tersebut, manakala seorang lagi kanak-kanak berusia tujuh tahun telah hilang sebahagian jarinya, lapor The Sun.
Menurut laporan The Sun , kira-kira 30 pengunjung yang lain turut tercedera akibat serangan serentak ikan piranha yang berlaku secara mengejut di Sungai Parana Santa Fem, Argentina.
Beberapa orang pengunjung yang berenang di kawasan itu dilaporkan mengalami luka yang begitu dalam pada bahagian buku lali, jari dan tangan mereka.
“Serangan itu berlaku disebabkan oleh suhu yang tinggi dan kadar air yang begitu rendah.” kata wakil persatuan anggota penyelamat kawasan tersebut.
“Kami sering menekankan mengenai kepentingan untuk mematuhi segala arahan penyelamat terutamanya pengunjung yang terdiri daripada kalangan keluarga dan kanak-kanak.” katanya lagi.
“Apabila anggota penyelamat melihat sama ada seorang atau dua orang pengunjung digigit piranha, mereka akan segera memberi arahan kepada pengunjung yang lain untuk keluar dari air.” tegas Sergio Berardi, anggota penyelamat kawasan itu.
Namun arahan itu dikatakan tidak sampai berikutan jumlah pengunjung yang begitu ramai pada waktu itu.
Anggota penyelamat yang bertugas pada petang Ahad hari kejadian itu, dilaporkan bergegas untuk membantu pengunjung yang tercedera tetapi pada masa yang sama pengunjung lain telah diserang oleh ikan piranha tersebut.
“Ikan piranha ini sering berenang di bahagian beting sungai, jadi terdapat banyak serangan dilakukan serentak,” katanya.