“Kalau dah tahu harga telur tinggi, kurangkan sikit makan telur..” – Pengarah KPDNHEP

“Kalau dah tahu harga telur tinggi, kurangkan sikit makan telur..” – Pengarah KPDNHEP

 

 

 

 

Dalam menghadapi peningkatan inflasi melanda negara, hampir semua pihak terkesan dengan kenaikan harga barang termasuk pembekal, peruncit dan pengguna terutama bagi golongan B40 dan M40.

Justeru, pihak atasan digesa mencari jalan penyelesaian terbaik dan bukan memberikan kenyataan yang lebih mengundang kemarahan rakyat seperti dihadapi oleh seorang ‘pengarah’ ini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka, Norena Jaafar dikritik hebat apabila mengulas harga telur ayam selepas membuat pemantauan di sebuah pasar di Melaka semalam.

Menerusi tinjauan di media sosial, video kenyataannya menjadi tular dalam kalangan warganet yang meminta rakyat bagi memahami situasi kenaikan harga barang disebabkan inflasi di pelbagai peringkat.

“Kalau boleh kita sebagai pengguna kan. Kalau kita dah tahu harga telur tinggi. Kalau boleh kita kurangkan sikit makan telur.

“Kalau seminggu kita makan lebih kurang 20 biji. Kita kurangkan jadi 10-15 biji. Tak ada masalah! Itu adalah cara, gaya hidup kita,” kata Norena.

Berikutan itu, kebanyakan netizen meluahkan rasa kurang berpuas hati dengan kenyataan Norena yang disifatkan tidak masuk akal, seolah-olah sekadar ‘bercakap’ sahaja.

Segelintir netizen berpendapat bahawa telur adalah sumber protein yang paling mampu didapati oleh orang ramai, jadi mengapa perlu mengurangkan pengambilan makanan berkenaan.

Telur pun dah habis murah. Dah tu nak makan apa lagi?

Harga barang dijangka naik 30 peratus

Kenaikan harga barangan dijangka naik kira-kira 30 peratus, sejajar de­ngan pemansuhan harga kawalan si­ling ayam, telur ayam dan subsidi minyak masak tulen bagi pek kemasan botol yang tidak akan diteruskan mulai 1 Julai ini.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, kenaikan harga barangan memang sudah dijangka, justeru rakyat akan berasa terkesan sekali gus perlu melakukan perubahan dalam gaya hidup mereka.

“Disebabkan kenaikan harga barangan, rakyat juga perlu me­lakukan perubahan daripada kenaikan harga 30 peratus ini. Mereka perlu bersedia dan berlapang dada menghadapinya selain mengambil langkah sepatutnya.

“Rakyat boleh lalui kehidupan yang tidak mewah dan bersederhana. Jadi mereka perlu berjimat cermat, ubah perangai serta gaya hidup,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Dalam pada itu, katanya, tidak hanya hidup secara sederhana, rakyat juga perlu melakukan sesuatu untuk lebih produktif dalam menghadapi kenaikan harga barangan di negara ini.

“Kerajaan nak tarik subsidi, tariklah tetapi kena lihat apa hendak dibuat misalnya, ke mana arah duit subsidi tersebut. Mungkin boleh dijadikan untuk membantu rakyat supaya produktif.

“Contohnya pemberian lesen perniagaan atau membantu asnaf yang memerlukan, perumahan kepada orang susah atau menggalakkan penanaman ja­gung,” katanya.

Ujarnya lagi, langkah tersebut adalah perlu dalam membantu rakyat menangani kos sara hidup.

Baru-baru ini Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memutuskan harga kawalan si­ling ayam, telur ayam dan subsidi minyak masak tulen bagi pek kemasan botol tidak akan diteruskan mulai 1 Julai ini.