“Hanya jalankan tugas..” – Tular video KJ ‘menganjing’ PMX, Johan serah kepada pengurusan radio Hot FM
PELAWAK dan penyampai radio Hot FM iaitu Johan enggan mengulas lanjut kecaman diterima susulan video tular segmen Bekpes Hot yang diperkatakan mempersenda Perdana Menteri Malaysia ke-10 (PMX), Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Hanya menjalankan tugas sebagai penyampai, Johan atau nama sebenarnya Mohammad Yazid Lim Mohd Aziz, 40, berkata isu berkenaan seharusnya dijawab oleh pihak pengurusan stesen berkenaan.
“Saya hanya bekerja. Seharusnya isu itu pihak pengurusan yang jawab.
“Saya hanya menjalankan tugas sebagai penyampai untuk hiburkan pendengar,” katanya kepada mStar.
Pada pagi Isnin, tular video menyaksikan rakan penyampai iaitu Khairy Jamaluddin (KJ) didakwa sengaja mempersendakan manifesto yang pernah dibuat oleh PMX.
Dalam satu rakaman berdurasi 38 saat, KJ mempromosi dirinya untuk diundi sebagai Penyampai Radio Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-36.
“Sedara-sedara, hari ini saya menang, esok kita makan ramai-ramai!” katanya.
Gurauan spontan KJ itu disambut dengan gelak tawa Johan serta seorang lagi rakan penyampai iaitu Fara Fauzana.
Ramai yang kurang senang dengan perbualan mereka ketika itu yang mengendalikan segmen berkenaan.
Menerima komen berkenaan dengan hati terbuka, Johan juga menganggap ia sebagai satu peringatan agar tidak terlalu selesa dalam menjalankan tugas.
“Saya dah lama dalam industri. Sudah pelbagai yang saya tempuhi.
“Perkara begini saya anggap Allah jentik supaya beringat. Jangan terlalu selesa dengan apa yang kita lakukan,” ujarnya.