Jakim nasihat Ustazah Siti Afifah, suami agar lebih berhikmah ketika berdakwah
Kontroversi melibatkan penceramah bebas, Ustazah Siti Afifah Shahbudin dan suami kerap kali menjadi perbincangan di media sosial. Walau bagaimanapun, banyak kenyataannya dan suami dianggap mengelirukan dan pernah ditegur oleh beberapa agamawan.
Jakim keluarkan kenyataan
Disebabkan itu, menerusi laporan dari Harian Metro, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah menasihati pasangan tersebut supaya menggunakan pendekatan yang sesuai dan berhikmah dalam menyampaikan dakwah.
Pihak Jakim juga sedia maklum bahawa terdapat video tular di media sosial yang dimuat naik pasangan penceramah itu yang kerap mengeluarkan kenyataan kontroversi dan mengancam akan mengambil tindakan undang-undang terhadap beberapa agamawan tertentu.
“Jakim dan pihak berkuasa agama negeri sentiasa membuat pemantauan kandungan berkaitan hal ehwal agama Islam yang dipaparkan kepada khalayak khususnya melalui penggunaan media sosial yang mendapat tempat dalam kalangan masyarakat mutakhir ini.
“Semua pihak khususnya golongan yang bergelar sebagai pendakwah adalah dinasihatkan agar sentiasa menggunakan pendekatan yang sesuai dan berhikmah dalam menyampaikan dakwah. Kenyataan yang bersifat kontroversi dan boleh menimbulkan kegusaran awam hendaklah dielakkan,” katanya.
Setiap pendakwah terikat dengan sistem pentauliahan
Dalam pada itu, pihak Jakim turut menegaskan bahawa setiap setiap pendakwah yang ada di negara ini terikat dengan sistem pentauliahan dan tidak semudahnya dibenarkan mengajar.
“Sebarang perlakuan yang bercanggah dengan peraturan dan undang-undang yang sedang berkuat kuasa boleh dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa.
“Adalah wajar untuk semua pihak mengambil pendekatan sederhana dalam setiap aspek tanpa mengabaikan tuntutan syarak termasuk mengutamakan keharmonian hidup dalam masyarakat,” katanya.
Untuk rekod, Ustazah Siti Afifah dikatakan kerap mengeluarkan kenyataan kontroversi termasuklah melabel para suami dayus apabila membiarkan doktor lelaki melihat aurat isteri sewaktu menyambut kelahiran bayi.
Dia dan suami turut bertindak mengkritik malah mengancam bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap agamawan yang menegur mereka.
Sumber: Harian Metro (Sudirman Mohd Tahir)