“Jaga adik baik-baik Ya”, 5 beradik kini yatim piatu, Ibubapa meninggal akibat Covid-19

“Jaga adik baik-baik Ya”, 5 beradik kini yatim piatu, Ibubapa meninggal akibat Covid-19

Satu kejadian sedih menimpa sebuah keluarga apabila lima beradik kini bergelar yatim piatu selepas ibu bapa mereka meninggal dunia akibat dijangkiti Covid-19.

Jaga adik-adik dengan baik ya“, itulah antara pesanan terakhir yang diungkapkan oleh seorang ibu menerusi panggilan video kepada anak sulungnya, Muhammad Haidir sebelum dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat positif Covid-19.

Haidir tidak menyangka pesanan panggilan video itu merupakan amanat terakhir ibu kepadanya untuk menjaga adik-beradiknya sebelum ayah mereka, Rodzi Tahar,55, menghembuskan nafas yang terakhir di Hospital Tampin pada 31 Mei lalu, manakala ibunya, Nazita Idris,45, meninggal dunia enam hari kemudian di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ)

Menurut Haidir, dia dan adik-adiknya berasa sedih dan reda akan kententuan Allah S.W.T dan berasa kesal kerana tidak berpeluang untuk mengucup jenazah ibu bapanya buat kali terakhir.

Kami berasa sedih namun reda dengan ketentuan Allah atas pemergian ibu bapa tersayang. Perkara paling menyedihkan apabila kami sekeluarga tidak dapat mencium jenazah arwah ibu dan bapa buat kali terakhir, namun doa dan ingatan sentiasa ada buat mereka.

Muhammad Haidir kini diamanahkan untuk menjaga empat adiknya iaitu Muhammad Hairie,20, Nurhairieka, 18, Muhammad Haiqiel, 13, dan Muhammad Khierzamani, 7, kini menetap di rumah peninggalan arwah ayahnya di Bandar Sunggala, Port Dickson.

Selain itu, Muhammad Haidir juga berkongsi kisah bagaimana bapanya mengalami demam biasa pada 26 Mei lalu dan tidak menduga ia menjadi pentanda bapanya disahkan positif Covid-19 selepas menjalani saringan di Hospital Port Dickson pada 29 Mei sebelum dihantar ke Hospital Tampin.

Namun tanpa diduga, keluarga mereka menerima khabar duka apabila doktor mengesahkan bapanya meninggal dunia keesokan harinya dan lebih menyedihkan, arwah tidak sempat untuk meninggal pesanan buat anak-anaknya selepas dimasukkan ke hospital.

Perkara paling menyedihkan apabila arwah bapa tidak sempat meninggalkan pesanan buat kami selepas dimasukkan ke hospital. Bapa saya mempunyai sejarah penyakit darah tinggi, kencing manis dan sakit buah pinggang, manakala ibu pula mempunyai penyakit darah tinggi. Jadi mereka golongan berisiko.

Kami tidak tahu punca jangkitan dapat dari mana dan tidak tahu kontak rapat daripada siapa?

Muhammad Haidir berkata, arwah ibunya turut mengalami simptom demam dan batuk serta turut melakukan ujian calitan pada 30 Mei dan disahkan positif Covid-19 pada keesokan harinya.

Tambahnya lagi, mereka adik-beradik juga didapati positif Covid-19 dan menjalani kuarantin di rumah, tetapi syukur tidak mengalami simptom yang teruk dan kini sudah sembuh daripada virus itu.

Semoga Muhammad Haidir dan adik-adiknya tabah menghadapi ujian ini dan semoga ibu dan bapanya ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman. (Amin)

Kredit: Berita Harian