Irwanshah kerugian lebih RM1.5 juta, adik kandung guna nama & palsukan tandatangannya untuk pinjaman bank

Irwanshah kerugian lebih RM1.5 juta, adik kandung guna nama & palsukan tandatangannya untuk pinjaman bank

Selebriti terkenal Indonesia, Irwansyah dilaporkan bakal kehilangan beberapa unit rumah serta kereta miliknya gara-gara ditipu oleh adiknya sendiri.

Hafiz Fatur yang merupakan adik kandung kepada penyanyi yang terkenal dengan lagu “My Heart” itu didakwa telah memalsukan dokumen serta tanda tangan Irwansyah untuk membuat pinjaman wang di bank.

Dokumen yang dimaksudkan itu adalah merupakan surat tanah dan kenderaan mewah milik Irwansyah sendiri.

Menurut portal Liputan6, kini rumah Irwansyah yang terletak di kawasan Bintaro, Tangerang Selatan, bakal disita oleh pihak bank kerana dia dianggap gagal untuk melunaskan ansuran pinjaman beserta dengan cagaran yang berupa dokumen yang dipalsukan oleh Hafiz Fatur.

“Bank telah letak papan tanda di situ. Di rumah yang dicagar, di kawasan Bintaro. Memandangkan papan tanda itu sudah dipasang, kami akan membuat laporan,” kata peguam Irwansyah, Muhammad Zakir Rasyidin.

Difahamkan bahawa rumah yang bakal disita oleh pihak bank adalah rumah kosong yang sedia untuk didiami. Selama ini, dokumen rumah tersebut berada di tangan ibu bapa Irwansyah ketika mereka masih hidup.

“Harta milik Irwan itu telah diamanahkan kepada ibu bapanya ketika mereka masih hidup. Tiba-tiba menurut pihak bank, adiknya itu telah menjadikan rumah tersebut sebagai cagaran,” kata Zakir.

 

Irwansyah mengakui terkejut dengan perkara itu. Lebih-lebih lagi apabila bil pinjaman wang sampai ke rumahnya. Dia sangat berasa pelik kerana setahunya, dia tidak pernah meminjam wang daripada mana-mana bank.

“Mereka rugi, kami juga rugi kerana rumah itu telah dipasang dengan papan tanda. Kami akan buat laporan berkenaan perkara ini kepada Lembaga Perkhidmatan Kewangan (OJK),” kata Zakir.

Peguam Irwansyah turut menyatakan bahawa kerugian yang dialami oleh kliennya mencapai sehingga ribuan juta rupiah.

“Ada satu kereta. Keseluruhannya ialah empat buah unit rumah dan sebuah kereta. Jumlah kerugian dianggarkan bernilai sekitar 5 bilion rupiah (RM1.5 juta),” kata Zakir.

Sumber: Liputan6