Intel tangguh pembinaan kilang di Pulau Pinang, lebih 2000 kakitangan akan dibuang kerja

Intel tangguh pembinaan kilang di Pulau Pinang, lebih 2000 kakitangan akan dibuang kerja

 

Intel sedang melakukan penstrukturan semula syarikat dengan baru-baru ini 15,000 pekerja telah dibuang.

Kedengaran ura-ura tindakan Intel ini akan turut memberikan impak kepada operasi mereka di Malaysia.

The Star melaporkan Intel telah menangguhkan sementara pembinaan kilang pempakejan dan ujian mereka di Pulau Pinang serta akan melakukan pengurangan tenaga kerja.

Pembinaan kilang ini ialah sebahagian daripada pelaburan $30 bilion yang diumumkan Intel pada tahun 2021, semasa CEO syarikat Pat Gelsinger melakukan lawatan ke Malaysia.

Ia pada asalnya dijangka memulakan operasi pada penghujung tahun ini.

Dalam laporan yang sama, lebih 2000 kakitangan Intel Malaysia akan dibuang kerja bersamaan dengan pengurangan 15% tenaga kerja tempatan.

Syarikat gergasi semikonduktor dunia ini sedang mengalami kerugian yang menyebabkan langkah pengurangan kos yang drastik perlu diambil.

Antara langkah lain yang mungkin diambil Intel ialah menjual perniagaan fabrikasi cip mereka kepada TSMC dan pembinaan kilang di Jerman bernilai $32 bilion akan dibatalkan.

Gelsinger dipercayai akan membentangkan perancangan beliau kepada lembaga pengarah Intel pada pertengahan bulan nanti.