Influencer Indonesia namakan 10 sebab kenapa Malaysia no 1 di dunia

Influencer Indonesia namakan 10 sebab kenapa Malaysia no 1 di dunia

 

Sebuah podcast dari Indonesia mencuri tumpuan rakyat negara ini selepas menyenaraikan 10 sebab mengapa Malaysia layak menjadi negara nombor 1 di dunia.

Podcast itu sering mengupas kehebatan Malaysia dan Indonesia serta pelbagai negara yang lain.

Antara 10 sebab yang menjadikan Malaysia dikagumi antaranya Malaysia mempunyai pejabat bomba tertinggi di dunia.

Ia bukanlah bangunan yang tertinggi, namun Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mempunyai balai bomba yang terletak di lokasi paling tinggi di dunia iaitu di Gunung Kinabalu.

Ia menjadi satu-satunya balai bomba di kawasan altitud tinggi di Malaysia, sekali gus melakar sejarah sebagai pusat operasi menyelamat di gunung yang pertama di dunia dikendalikan sepenuhnya oleh kerajaan.

2) Malaysia mempunyai lokasi paya bakau terbanyak di dunia

Malaysia yang terletak di kawasan tropika membolehkan negara ini mempunyai pelbagai jenis hutan yang unik.

Selain berfungsi sebagai habitat semula jadi pelbagai spesies flora dan fauna, hutan paya bakau berperanan sebagai pelindung semula jadi kepada bencana alam seperti tsunami, ombak besar serta ribut.

Hutan paya bakau mampu menyerap gelombang besar ombak serta angin kencang seterusnya membolehkan kawasan pesisiran pantai yang dilitupi hutan paya bakau selamat daripada impak bencana.

Pada masa yang sama, hutan ini mempunyai nilai ekonomi yang tinggi kepada penduduk setempat. Ia menyediakan sumber ekonomi sama ada dari sumber perikanan, kayu arang dan ekopelancongan kepada penduduk setempat.

3) Terowong lebuh raya dwi fungsi pertama di dunia

Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (SMART) yang boleh dilihat di Kuala Lumpur merupakan terowong lencongan air dwifungsi yang pertama di dunia.

Terowong SMART yang selesai dibina pada tahun 2007 ini adalah sepanjang 9.7 kilometer dan mempunyai lebuh raya dua tingkat sepanjang tiga kilometer.

4) Dokumentasi haiwan pertama di dunia, dirakam di Sabah

Pada tahun tahun 1920 dan 1935, pasangan suami isteri iaitu Martin dan Osa Johnson telah berkunjung ke Sabah yang dahulunya dikenali sebagai Borneo Utara.

Kalau anda nak tahu, pasangan suami isteri itu juga merupakan pembuat filem Hollywood.

Ketika lawatan mereka ke Sabah, mereka telah melakukan dokomentari yang memaparkan visual penuh haiwan-haiwan di Sabah.

5) Tabung Haji lancar kad debi Mastercard. Itu bukan di bawah perbankan pertama di dunia

Pada tahun 2014 lalu, Malaysia telah melakar sejarah apabila Lembaga Tabung Haji (TH) telah mengeluarkan kad debit Mastercard bukan di bawah perbankan yang pertama di dunia.

Dengan adanya kad debit ini, rakyat Malaysia beragama Islam lebih mudah untuk membuat pembayaran menggunakan kad berkenaan ketika mengerjakan ibadah haji atau umrah di Mekah dan Madinah.

Nak guna untuk urusan harian pun boleh juga. Tiada masalah.

6) Negara pertama di dunia yang menggunakan pasport biometrik

Malaysia merupakan negara pertama di dunia yang mengeluarkan pasport biometrik pada Mac 1998. Teknologi tersebut telah dibangunkan oleh syarikat teknologi tempatan bernama IRIS Corporation.

Hari ini, lebih daripada 150 negara dilihat menggunakan teknologi ini bagi memudahkan urusan keluar masuk sesebuah negara.

7) Jenama makanan Marry Brown lakar sejarah sebagai rangkaian restoran makanan segera halal terbesar di dunia

Jenama makanan ‘fast food’ Marrybrown ini yang diasaskan di Johor Bahru pada tahun 1981 dimiliki oleh rakyat Malaysia iaitu Datuk Lawrence Liew dan Datin Nancy Liew.

Sehingga kini, Marrybrown telah membuka 500 cawangan di seluruh Malaysia dan juga dibuka di lebih 15 buah negara.

Siapa sangka, jenama Marrybrown yang memiliki sijil Halal ini menjadi jenama ‘fast food’ yang terbesar di dunia yang boleh dinikmati oleh seluruh umat Islam.

8) Sabah Malaysia menjadi tempat perlindungan orang hutan pertama di dunia

Diasaskan pada tahun 1964 oleh Barbara Harrisson, Pusat Pemulihan Sepilok di Sandakan, Sabah telah menjadi tempat perlindungan Orang Utan pertama di dunia.

Pusat pemulihan itu diwujudkan bagi melindungi Orang Utan yang terbiar dan kurang mendapat perhatian.

Tempat perlindungan yang hampir sama telah dibina di Indonesia pada tahun 1980.

9) KLIA jadi lapangan terbang pertama yang mempunyai hutan

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menjadi lapangan terbang pertama di dunia yang mempunyai kawasan hutan di dalamnya.

KLIA yang dibina pada tahun 1998 dianggap sebagai salah satu struktur yang paling terkenal di dunia dengan adanya kawasan hutan sebagai tarikan pelancong.

10) Bukit bendera Pulau Pinang catat sebagai terowong paling curam di dunia

Terowong kereta api yang membawa pengunjung di Bukit Bendera, Pulau Pinang ke kawasan puncak dicatatkan sebagai terowong berbukit yang paling curam di dunia.

Terowong dengan kedudukan kecuraman sebanyak 27.9 darjah itu telah dibina antara tahun 1906 sehingga 1923.