Identiti pemandu lelaki rentung kereta terbakar dikenal pasti
Identiti pemandu Proton Persona yang rentung selepas kereta yang dipandunya terbabit dalam kemalangan dan terbakar di Kilometer 19.4 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Napoh kelmarin sudah dikenal pasti.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, mangsa disahkan sebagai Muhammad Akhimullah Amaran, 30, beralamat di Kangar, Perlis.
Beliau berkata, mangsa bekerja sebagai penjaga stor.
“Siasatan masih dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, orang ramai yang berada di situ tidak dapat berbuat apa-apa berikutan api marak dengan cepat.
Kemalangan itu turut membabitkan Toyota Vellfire yang dinaiki tujuh sekeluarga yang dalam perjalanan dari Perlis ke Banting, Selangor dan kesemua mereka mengalami kecederaan serta dirawat di Hospital Jitra.