Ibu dipuji ajar anak berusaha keras dapatkan duit sendiri untuk beli iPhone idaman
Setiap ibu bapa pasti mahu memenuhi segala permintaan anak mereka walaupun barangan itu mencecah ribuan ringgit. Namun, disebabkan itulah ada yang menjadi manja sehingga tidak tahu berdikari untuk mencari wang sendiri di kemudian hari.
Menerusi platform Facebook, seorang pengguna yang dikenali sebagai Liyana Chan berkongsi kisah anaknya berjaya mendapatkan iPhone idaman dengan hasil titik peluh bekerja pada setiap hari dan duit tabungan yang disimpan selama ini.
Difahamkan anak perempuannya telah bekerja menjaga kedai durian pada setiap hari. Puan Liyana mendidik anak perempuannya untuk berusaha keras untuk mencari duit sendiri kerana wang bukan mudah dicari.
“Sorry nak, terpaksa buat begini, sebab cari duit bukan senang. Perlu usaha tangga kejayaa. Jadi, apa yan damia mau kena usaha sendiri,” tulisnya di hantaran FB.
Bagi dia, tiada istilah semudah mendapatkan sesuatu barangan dengan meminta sahaja terus dapat. Dalam mengajar erti betapa payahnya mencari wang di dalam realiti sebenar, anaknya perlu menabung wang sebelum boleh membeli barang yan diidamkan.
Lebih mengusik hati ibunya, apabila anak perempuan tidak mengeluh dan sudi menggunakan telefon pintar yang sedia ada biarpun skrin LCD perlu dilekatkan dengan pita pelekat kerana sudah tertanggal.
Walaupun tampak keras dengan pendekatan sedemikian, ibunya percaya yang anaknya akan berjaya di dalam dunia yang mencabar ini kerana sudah memiliki pelajaran serta pengalaman daripada bekerja di usia muda.
“Kalau mummy, nanti tiada ibu pun taida mak cik mu pun tiada, ada juga pengalaman mu sudahkan rasa duit bukan enang cari tanpa usaha dan ilmu,” ujarnya di pengakhiran hantaran tersebut.
Dia menambah lagi dengan pengalaman sebegini akan mengajar erti bahawa bukan mudah mendapatkan duit jika tiada usaha dan ilmu.
Hantaran berkenaan telah meraih perhatian netizen dan rata-ratanya memuji didikan dan asuhan ibunya yang mengajar erti bersusah payah mencari wang kepada anak perempuannya di usia muda.
Dalam masa sama, orang ramai bergembira dan mengucapkan tahniah kepada adik Damia berjaya mendapatkan telefon pintar idaman dengan hasil titik peluhnya dengan bekerja setiap hari dan duit tabungan tanpa mengharapkan wang ibubapa.