Hari terakhir bertugas, Fizie & Mark Adam sebak tinggalkan Hot FM

Hari terakhir bertugas, Fizie & Mark Adam sebak tinggalkan Hot FM

Penyampai radio segmen Geng Pagi Hot (GPH) Fizie dan Mark Adam mengambil keputusan bagi meninggalkan stesen Hot FM hari ini.

Menerusi laman Instagram masing-masing, mereka memuat naik video memberikan ucapan istimewa dan berkongsi pengalaman sepanjang bertugas di stesen radio tersebut.

 

Menurut Fizie atau nama sebenarnya Mohamad Hafizie Roslan, dia sebak mengenang perjalanan suka dan duka sepanjang hampir 10 tahun berkhidmat di stesen radio berkenaan.

“Maafkan saya jika ada salah silap. Bermula dari Hot FM Kelate, saya ditukarkan ke Kuala Lumpur. Beberapa kali GPH bertukar-tukar rakan penyampai, terima kasih menjadi sebahagian dalam hidup saya,” katanya.

 

Bagi penyanyi Mark Adam pula, dia menganggap peluang yang diberikan selama ini adalah berharga walaupun hanya lima bulan berkhidmat di stesen radio terbabit.

“Selamat tinggal @hotfm976 terima kasih banyak dengan peluang yang diberikan. Kepada semua rakan2 saya di dalam kerjaya ni, terima kasih banyak dengan kerjasama dan ilmu yang diberikan.
“Teruskan mendengar Hot FM guys banyak benda baik yang akan datang lepas ni! I wish everyone the best!
Syukur alhamdulillah,” tulisnya.

Menurut penyanyi berusia 41 tahun itu, dia berterima kasih kepada rakan penyampai GPH iaitu Fizie dan Riena Diana yang banyak membantu dirinya bagi menguasai kemahiran bertutur dalam bahasa Melayu.

Difahamkan, kedua-duanya mengakui masih menyayangi stesen radio itu namun tidak mendedahkan punca meninggalkan kerjaya berkenaan.

Jumaat lalu, pengacara Issey Fazlisham sebak meninggalkan stesen Suria FM dengan membuat keputusan tidak menyambung kontrak selepas tiga tahun berkhidmat.

Sumber: Instagram Fizie & Mark Adam