Hamidin akhirnya dedah cerita sebenar sebab pemergian Pan Gon
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebenarnya menjadi mangsa keadaan susulan tindakan Kim Pan Gon meletak jawatan sebagai pengendali Harimau Malaya pada pertengahan bulan lalu.
Ia kerana peminat dilihat menyalahkan badan induk itu tanpa mengetahui cerita sebenar disebalik keputusan mengejut pengendali dari Korea Selatan itu meninggalkan Harimau Malaya.
Bagaimanapun, Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin, hari ini, akhirnya membuka mulut mengenai ‘sandiwara’ yang berlaku sebelum badan induk itu bersetuju melepaskan Pan Gon.
Hamidin menjelaskan, Pan Gon menyatakan hasrat untuk menamatkan kontrak yang masih berbaki lebih kurang setahun setengah beberapa hari sebelum beliau berlepas ke Sepanyol dengan alasan atas masalah keluarga.
“Selepas aksi lawan Taiwan, dia (Pan Gon) bercuti dan apabila balik, dia begitu tergesa-gesa bahawa dia nak saya lepaskan kontrak (lebih awal). Dua timbalan presiden FAM jadi saksi. Dia nyatakan ada masalah dengan isteri dan keluarga dia.
“Saya kata anda ada kontrak lagi, cuba fikirkan (untuk kekal sekurang-kurangnya) sampai hujung tahun depan untuk saya cari pengganti. Selepas itu dia jumpa saya lagi, kata nak putuskan (tamatkan kontrak) juga.
“Jadi saya bincang dengan jawatankuasa, alasan dia tak berapa kukuh tapi dia merayu dan akhirnya saya bersetuju sebelum saya ke Sepanyol. Saya tahu peminat akan marah kepada FAM.
“Apa yang mengecewakan dan buatkan saya sedih, akhirnya kita dapat tahu bahawa dia sudah berurusan dengan Ulsan HD. Maka di sini, dia tidak profesional.
“Akhirnya FAM yang jadi mangsa. Bagaimana kita menjaga dia, tapi dapat tawaran lebih baik dia tinggalkan kita. Jadi FAM tak boleh dipersalahkan,” katanya padang sidang media di Wisma FAM, hari ini.
Isu peletakan jawatan Pan Gon menjadi antara alasan yang diberikan segelintir kumpulan peminat Harimau Malaya yang menyatakan hasrat untuk memboikot Pestabola Merdeka 2024, bulan depan.
Ketika ditanya mengenai perkara itu, Hamidin memohon peminat terutama Ultras Malaya memikirkan semula hasrat mereka untuk memboikot kejohanan yang bakal disertai Malaysia, Filipina, Lubnan dan Tajikistan.
“Ini masa untuk penyokong menyokong pasukan dalam usaha kita terus memperbaiki ranking dan itu harapan saya. Kalau mereka (penyokong) ada perkara yang nak tahu mengenai fakta, mereka boleh jumpa pegawai FAM untuk kita terangkan dan saya menyeru mereka boleh memikirkan balik untuk kembali menyokong,” katanya.