Gelagat tujuh beradik bawa makanan buat ayah di hospital buat ramai terhibur, wad dah jadi macam pesta

Gelagat tujuh beradik bawa makanan buat ayah di hospital buat ramai terhibur, wad dah jadi macam pesta

 

Buat mereka yang berpengalaman ditahan dalam wad hospital, pasti anda bersetuju banyak perkara di sana membuatkan anda tidak selesa.

Kadangkala, pihak hospital sudah menyediakan fasiliti terbaik tetapi anda sebagai pesakit yang lebih memilih keselesaan di rumah.

Antara perkara yang sering didengari dari para pesakit adalah makanan yang disediakan tidak menepati selera masing-masing.

Oleh disebabkan itu, ramai pelawat sering membawa juadah sampingan lain agar si pesakit yang perlu mengambil makanan, berselera dengan hidangan tersebut selain dapat sembuh dengan kadar segera.

Baru-baru ini, tular satu hantaran di laman TikTok apabila seorang wanita dikenali sebagai Syifa Majid (@syipomajid) berkongsi situasi ayahnya yang kini ditempatkan dalam wad hospital disebabkan kesihatan kurang baik.

Kebiasaannya, para pelawat akan membawa buah tangan buat pesakit yang terlantar di hospital.

Namun kali ini, Syifa bersama adik-beradiknya bukan sahaja membawa buah-buahan, malah turut membeli juadah yang banyak sehinggakan wad tersebut kelihatan seperti sedang mengadakan pesta makanan!

“Anak ada tujuh orang. Bila abah warded jadi pesta makanan sebab dah pakat bawa seorang satu (jenis makanan) ketika melawat,” kata Syifa di klip video berkenaan.

Bihun goreng, roti canai, ayam tandoori, pisang, nasi goreng, teh o’ ais semuanya ada! Dah macam dekat kedai makan mamak pula.

Tambah Syifa, makanan tersedia seperti yang dilihat menerusi video hanya dibawa oleh empat orang sahaja, manakala tiga orang adik-beradik lain masih belum tiba dengan makanan mereka.

Dalam hantaran itu juga, anda boleh lihat pelawat lain yang sedang ‘sibuk’ menjamah makanan di depan mata, sebaliknya si bapa pula hanya memerhati gelagat ahli keluarga dengan senyuman pada wajahnya.

@syipomajid

Tu teqa ada lagi 3 orang tak sampai hahaha jenuh makan 😂😂

♬ Funny video “Carmen Prelude” Arranging weakness(836530) – yo suzuki(akisai)

Menjengah ke ruangan komen, orang ramai dilihat terhibur dengan gelagat anak-beranak yang menjadikan sesi melawat itu sebagai ‘jamuan makan’.

“Yang sakit tak lalu makan. Yang melawat pula buat potluck. Janji abah gembira, Untuk adik-beradik ramai, sakit abah hilang,” ujar seorang individu.

Ada juga yang berseloroh dengan mengatakan makanan pelbagai variasi itulah yang membuatkan si bapa terpaksa ditahan di hospital.

“Dah tahu dah apa punca ayah masuk wad,” kata seorang pengguna TikTok.

Sementara itu, orang ramai juga menintipkan doa agar kesihatan si ayah kembali pulih selain hubungan anak-beranak ini kekal erat hingga sudah tua nanti.

Ramai juga sempat berkongsi pengalaman mereka menjaga ibu bapa di hospital.

“Macam kami sembilan adik-beradik. Seorang bawa 2-3 jenis makanan. Akhirnya, satu wad sekali dengan jururawat kenyang,” jelas seorang wanita.