Gara-gara tak puas hati harga makanan, pelanggan tarik rambut, tolak peniaga hingga jatuh

Gara-gara tak puas hati harga makanan, pelanggan tarik rambut, tolak peniaga hingga jatuh

 

Tular di media sosial sejak semalam insiden memaparkan pergaduhan di antara pelanggan dan peniaga di sebuah kedai makan dekat Selangor.

Dalam rakaman tular tersebut, kelihatan sepasang suami isteri bertindak menyerang dan mengasari seorang peniaga wanita, selepas bertanya tentang harga makanan.

Sementara itu, pelanggan wanita terbabit dilihat menarik rambut mangsa dan suaminya pula bertindak menolak peniaga tersebut sehingga jatuh ke atas lantai.

Lebih mendebarkan, situasi tegang itu berlaku di kawasan dapur yang juga terdapat beberapa makanan sedang dimasak di atas dapur gas.

Difahamkan, kejadian itu bermula apabila pelanggan wanita terbabit dipercayai tidak berpuas hati dengan jawapan mangsa mengenai harga makanan yang dikenakan terhadap mereka.

Pergaduhan di antara mereka menjadi semakin tegang apabila pelanggan wanita mula melemparkan barang-barang di kedai mangsa sebagai tanda protes terhadap isu berbangkit itu dan ia berlarutan sehingga ke luar kedai.

Video tular di laman X dan Facebook itu telah mendapat lebih 300,000 tontonan dan rata-ratanya meninggalkan komen meminta pihak berkuasa menyiasat segera insiden tersebut.