Gara-gara nak selfie, pemuda maut terjatuh dari gunung setinggi 700 kaki

Gara-gara nak selfie, pemuda maut terjatuh dari gunung setinggi 700 kaki

Seorang pendaki dilaporkan terjatuh dari ketinggian 700 kaki selepas tergelincir semasa ingin berswafoto atau selfie di puncak gunung.

Memetik laporan DailyMail, lelaki berusia 21 tahun itu sedang berkhemah bersama rakan-rakannya di Puncak Flatiron, sebuah kawasan pergunungan di Arizona di Taman Negara Lost Dutchman.

Pihak polis setempat dikatakan menerima laporan lelaki berkenaan tergelincir dari salah seorang rakan mangsa pada jam 12.45 tengah malam, Isnin lalu.

Jurucakap Pejabat Sherif Daerah Pinal, Sarjan Doug Peoble berkata, mangsa ingin menangkap gambar seorang diri dari puncak tersebut berlatarkan pemandangan bandar.

Namun begitu, mangsa dikatakan tersalah langkah sebelum tergelincir dan terjatuh ke bawah.

“Apa yang saya boleh katakan, kami tidak menemui sebarang tanda penganiayaan semasa penyiasatan dilakukan. Tiada kesan dadah atau seumpamanya. Ia hanya satu kemalangan tragis,” ujar Peoble kepada AZFamily.com.

Lapor DailyMail, Bahagian Keselamatan Awam Arizona telah menghantar helikopter untuk membantu misi pencarian mangsa pada tengah malam kejadian. Walau bagaimanapun, mangsa telah ditemui meninggal dunia di sebuah denai, 700 kaki dari tempatnya terjatuh.

Setakat ini, belum dapat dipastikan mengapa mangsa bersama rakan-rakannya memilih menyusuri denai yang dikenali sebagai Siphon Draw, kawasan yang pernah mengalami beberapa insiden runtuhan batu.

Tambahan pula, denai tersebut berjarak 5.5 batu (sekitar 8.8 kilometer) dari tapak perkhemahan mangsa serta rakan-rakannya dan mengambil masa selama kira-kira empat jam pendakian.