Fify Azmi dan kekasih dituduh buat “macam-macam” di Pulau Perhetian

Fify Azmi dan kekasih dituduh buat “macam-macam” di Pulau Perhetian

Kuala Lumpur: Pelakon Nafiez Zaidi sudah menjangka akan berdepan kecaman netizen yang menuduh dia dan kekasihnya yang juga pelakon, Fify Azmi melakukan perkara tidak elok apabila berkunjung ke Pulau Perhentian Besar, Terengganu, baru-baru ini.

Nafiez berkata, pelbagai tuduhan dilemparkan netizen termasuk mengatakan mereka tinggal sebilik dan sebagainya.

“Ditambah kami adalah pasangan kekasih dan ia makin menguatkan dakwaan itu. Bagaimanapun, kami ke sana atas undangan kerja dan bukannya suka-suka.

“Betul, perkara ini akan timbulkan fitnah apabila kami buat hantaran begitu di media sosial. Namun, kami cuma nak kongsi keadaan sebenar yang berlaku ketika di sana,” katanya kepada Harian Metro.

Nafiez dan Fify pergi ke pulau peranginan itu pada 24 Februari lalu atas jemputan resort di situ bertujuan untuk kerja-kerja ulasan di situ.

Bagaimanapun, cuaca buruk dengan hujan lebat serta angin kuat dan laut bergelora menyebabkan mereka terperangkap di sana.

Nafiez berkata, netizen boleh menuduh sesuka hati kerana mereka tidak nampak apa yang berlaku di sana. “Tak hairanlah mereka akan tuduh kami buat benda tak elok. Alhamdulillah, kami jaga kelakuan dan jaga batasan sebagai umat Islam.

“Lagipun ia bukan di luar negara. Semua yang bekerja di resort itu adalah orang Islam. Takkanlah kami nak pergi duduk berdua-duaan begitu.

“Kami pun datang dalam bot yang sama dengan keluarga Melayu dan mereka pun kenal kami. Biarlah netizen nak cakap apapun. Yang penting hanya kami berdua tahu perkara sebenar. Keluarga kami pun tahu kami ada di sana,” katanya.

Nafiez berkata, mereka bersyukur berjaya keluar dari pulau itu pada jam 10 pagi kelmarin dengan bot yang disediakan.

“Dari Terengganu saya terus ke Lumut, Perak untuk menjalani penggambaran drama Air Mata Di Bumi Matador. Saya sepatutnya tinggalkan Fify di Kuala Lumpur tapi produksi meminta saya terus ke sana supaya saya dapat sampai awal dan berehat untuk penggambaran hari ini (kelmarin),” katanya yang tiba di Lumut pada jam 10 malam kelmarin.