Fazura dedah laporan polis pernah dibuat, berkaitan isu pecah amanah
PELAKON Nur Fazura menjelaskan tindakannya membuat laporan polis baru-baru ini melibatkan isu pecah amanah.
Nur Fazura atau Nur Fazura Sharifuddin, 39, bagaimanapun belum bersedia mendedahkan butiran mengenai perkara berkenaan kerana merasakan belum tiba masanya.
Sebaliknya, aktres itu menyerahkan perkara berkenaan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan lanjut.
“Apa boleh saya katakan gambar balai polis yang saya muat naik baru-baru ini melibatkan pecah amanah.
Tangkap layar perkongsian Fazura di memaparkan gambar sebuah balai polis namun dirahsiakan lokasinya.
“Saya mohon maaf sebab tak boleh kongsi butiran lanjut mengenai mengapa saya buat laporan polis,” katanya.
Fazura berkata demikian kepada media ketika ditemui pada sidang media Konsert Faztival Fazura 2022.
Terdahulu, isteri kepada aktor Fattah Amin itu mengejutkan peminat apabila memuat naik gambar sebuah balai polis di Instagram namun tidak mendedahkan tujuannya ke situ.
“Terima kasih,” tulisnya ringkas pada gambar berkenaan.
Dalam perkembangan lain, Konsert Faztival Fazura 2022 dijadualkan berlangsung di Axiata Arena pada 11 September ini dengan membariskan penyanyi popular tempatan dan Indonesia seperti Zizi Kirana, Ella, Datuk Awie, Ahmad Dhani, Mulan Jameela, Datuk M. Nasir, Ruffedge, Ippo Hafiz dan Amir Masdi.