Elyana perjelas status tidak lagi berhijab ‘saya sudah fikir semasak-masaknya, inilah saya’

Elyana perjelas status tidak lagi berhijab ‘saya sudah fikir semasak-masaknya, inilah saya’

Penyanyi  dan pelakon, Elyana memberitahu dirinya sudah membuat keputusan untuk tidak berhijab lagi setelah difikir semasak-masaknya.

Bagaimanapun, penyanyi berusia 35 tahun itu tetap mengambil keputusan untuk tidak menjelaskan lebih lanjut mengenai keputusannya itu. Sebaliknya, dia berharap agar orang ramai mendoakan perkara yang baik buat dirinya. Dalam pada itu, pemilik nama Erneelya Elyana Emrizal mengucapkan terima kasih kepada semua kerana mendoakan dirinya selama ini.

“Saya sudah fikir semasak-masaknya. Inilah saya. Terima kasih kepada semua yang mendoakan selama ini. Jika anda masih lagi mahu mendoakan saya, saya harap doa yang baik itu berbalik kepada anda.
“Baik buruknya, saya yang akan tanggung. Jika anda boleh terima diri saya, Alhamdulillah. Jika tak boleh, saya tidak dapat berbuat apa-apa kerana inilah saya,” katanya.

Dalam pada itu, Elyana memaklumkan dirinya enggan memikirkan kecaman netizen dan menganggap ia tiada keperluan bagi dirinya untuk menerangkan kepada mereka yang tidak memahami. Jelas Elyana, segala penjelasan dan tindak tanduknya nanti pasti sahaja akan menerima pandangan negatif.

“Saya mengambil keputusan untuk tidak menjelaskan apa-apa kerana mereka (netizen) tidak ingin penjelasan daripada saya. Selagi saya menjelaskan, selagi itu macam-macam cerita tidak masuk akal yang akan timbul.
“Jadi, demi menjaga tatasusila, jiwa, persekitaran saya, saya mengambil keputusan untuk tidak menerangkan apa-apa kepada mereka yang langsung tidak mahu memahami,” katanya lagi.

 

Tambah Elyana, dirinya sudah penat menjaga hati orang lain dan kini mahu memberi fokus terhadap perasaan dan jiwa sendiri. Oleh itu, Elyana mahu melakukan apa-apa sahaja yang tefikir untuk dibuat selain menjelaskan dia tidak pernah rasa menyesal dengan hidupnya.

“Dalam hidup saya tidak pernah rasa penyesalan. Cuma apa yang boleh saya katakan, setiap hari saya impikan kehidupan yang baik untuk jiwa saya.”jelas Elyana.

Terdahulu, Elyana menerima kecaman warganet setelah gambarnya tidak berhijab tular di media sosial dan mengambil keputusan untuk tidak menjelaskan hal sebenar. Tetapi, meluahkan dirinya sudah ‘give up’ kerana tertekan dengan segelintir netizen yang bermulut puaka.

Sumber: Utusan Malaysia (Mohammad Al Faizal Abdul Karim)