Kerap berselisih semasa kerja, ‘driver lori’ ini akhirnya berjaya miliki Honda Civic Type R sendiri

Kerap berselisih semasa kerja, ‘driver lori’ ini akhirnya berjaya miliki Honda Civic Type R sendiri

 

Tidak kira walaupun apa pun jua pekerjaan kita, setiap orang pasti memiliki kereta idaman masing-masing.

Namun jika kita yakin diri sendiri, pada masa sama mampu untuk beli, ia bukan satu halangan besar buat diri kita.

Seorang pemandu lori berkongsi pengalaman proses memiliki kereta idamannya, sebuah Honda Civic Type R pada tahun lalu.

Menerusi hantaran TikTok @syafiqje94, beliau yang bekerja sebagai pemandu lori menyatakan beliau akan berulang-alik dari Pulau Pinang ke Johor untuk menghantar anak ayam dan itik dua kali seminggu.

Sepanjang perjalanan sejauh hampir 1,500 kilometer itu, sekali-sekala beliau pasti berselisih dengan kereta idamannya itu.

“Kalau pergi atau balik saja, mesti selisih  kereta ini (Honda Civic Type R). Lawa betul bentuk dia. Lebar, besar dan garang.

“Terfikir boleh ke driver lori macam aku beli kereta macam ini. Dah la mahal,” kata Syafiq.

Sehinggalah pada 4 Mac 2023, beliau menghubungi rakannya yang menguruskan jual beli kereta.

Selepas berbincang daripada segi bajet dan lain-lain, kemudian Syafiq menghantar dokumen diperlukan.

“Hantar statement bank. Ye lah, saja cuba-cuba. Jika lepas alhamdulilah, tak lepas anggap saja tak ada rezeki,” katanya lagi.

Pada 21 Ogos merupakan tarikh penuh bermakna buat Syafiq kerana permohonan pinjaman telah diluluskan.

Dalam rasa gembira, beliau ada berasa sedikit ragu-ragu, bimbang tidak mampu menanggung bulanannya nanti.

“Kawan berita tahu loan approved untuk kereta idaman itu. Masa ini seronok ada, takut pun ada.

“Ye lah, seronok sebab dapat kereta idaman. Takut sebab beli menggunakan pinjaman. Ragu-ragu juga tiap bulan mampu ke bayar,” kata Syafiq.

Pada September 2023, rakannya menghantar gambar kereta idamannya yang sedia untuk dibawa pulang. Dalam masa sama, rakannya sempat ‘meracun’ untuk membeli nombor plat dua digit.

“Masuk duit untuk booking unit kereta itu. Kawan ‘racun’ suruh masuk nombor dua digit. Tapi sekadar racun saja, saya tak termakan pun,” ujarnya dengan rasa geli hati.

Selepas selesai urusan nombor plat, Syafiq mengambil kereta yang diimpi-impikan selama ini di perhentian R&R Elmina ke arah utara.

Oleh kerana beliau sedang memandu lori ketika itu, ia menyukar Syafiq untuk mengambil di kedai kereta tersebut. Jadi jurujual sendiri yang membawa kereta hantar di perhentian itu.

“Wah macam tak percaya, driver lori pun boleh pakai kereta macam ini.

“Tahun ini dah nak masuk setahun beli kereta ini. Rasanya dah tiba untuk upgrade. Ye lah dah setahun pakai standard. Sekian,” kata gurau Syafiq.

Menerusi komen-komen yang dikongsikan netizen, ramai mengucapkan tahniah dan pada masa sama mengucapkan terima kasih kerana berkongsi kisah sendiri bagaimana memiliki kereta idaman.