“Jangan kurang ajar, otak kau ada tak?” – Diva AA amukkan KJ, Hot FM

“Jangan kurang ajar, otak kau ada tak?” – Diva AA amukkan KJ, Hot FM

 

Selebriti sensasi Azwan Ali menggesa pihak pengurusan Hot FM memohon maaf gara-gara penyampai radionya menyindir Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika bersiaran baru-baru ini.

Menafikan dirinya penyokong tegar Anwar, Azwan sebaliknya berkata, mana-mana penyampai radio di stesen tidak wajar menjadikan pemimpin negara sebagai lelucon melalui wadah berkenaan.

Lebih menumpukan kemarahannya kepada penyampai sambilan stesen radio itu, Khairy Jamaluddin, Azwan berkata kedudukan seseorang tidak mewajarkan sesiapa untuk menjadi biadab.

“Kepada KJ (Khairy), jangan kurang ajar. Ingat jadi menantu Pak Lah (Abdullah Ahmad Badawi) kau boleh buat sesuka hati.

“Aku tak suka juga Anwar Ibrahim tapi aku bukan barua atau penjilat dia. Tapi aku tak kutuk pemimpin dalam siaran langsung macam itu.

“DJ lain pun mengilai ketawa (selepas Anwar disindir)… memanglah rakyat marah. Jangan ingat kau seorang benci Anwar Ibrahim sedangkan yang lain sokong dia.

“Yang aku nak marah kenapa padam video berkenaan? Tampillah minta maaf,” ciapnya di X.

Azwan merujuk kepada klip video yang sempat tular memaparkan Khairy menguar-uarkan ‘manifestonya’ sebagai calon untuk anugerah penyampai radio popular sebuah akhbar.

Aksi spontan dan secara langsung di bilik konti radio itu menyaksikan Khairy mengucapkan kata-kata yang pernah diungkapkan Anwar sewaktu berkempen sebagai pembangkang.

Tiga penyampai Hot FM yang bersama Khairy ketika itu – Johan, AG dan Fara Fauzana – menyambut olokan bekas ketua Pemuda Umno Malaysia itu dengan ketawa berdekah-dekah.

Apabila klip tersebut tular, sesetengah pihak menyatakan rasa berang kerana mereka mentertawakan seorang pemimpin negara dan mengajak orang ramai memboikot stesen radio milik Media Prima tersebut.

Menurut Azwan, 58, dia sebenarnya tidak mempunyai sebarang masalah dengan penyampai di stesen radio berkenaan namun menganggap tindakan Khairy tidak boleh diterima.

Diva (Azwan) pernah gegar Hot FM, tak ada masalah dengan mereka atau marah Fara Fauzana, Johan atau AG.

“Yang aku marah ialah KJ (Khairy) dan pihak pengurusan,” katanya.